Malaysia anjur Mesyuarat AELM APEC secara maya 20 November ini | DagangNews Skip to main content

Malaysia anjur Mesyuarat AELM APEC secara maya 20 November ini

 


KUALA LUMPUR 26 Okt. - Malaysia akan menganjurkan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) secara maya pada 20 November 2020, pertama seumpamanya dalam sejarah APEC di sebalik latar belakang dunia sedang mendepani pandemik COVID-19. 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) berkata, sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia kekal komited dalam menjayakan mesyuarat-mesyuarat APEC yang direncanakan pada tahun ini.

"AELM kali ini dijangka melancarkan Visi Pasca 2020, satu dokumen polisi utama bagi rantau ini yang akan menggantikan Matlamat Bogor, yang akan mencecah tempoh matangnya akhir tahun ini.

"Malaysia, sebagai entiti utama yang menyediakan dokumen penting ini sedang bekerjasama dengan kesemua ekonomi APEC dalam persiapan dokumen ini. 

"Dokumen ini akan menjadi sumber rujukan utama untuk rantau ini pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini. 

AELM tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan disertai semua 21 Pemimpin Ekonomi APEC.

Menurut MITI, Malaysia juga telah memulakan tugasan pembentukan Deklarasi Pemimpin, dokumen penting yang sejak dua tahun lepas tidak dapat dimuktamadkan. 

"Pada 2018, Pemimpin Ekonomi APEC tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai Deklarasi Pemimpin dan pada 2019 pula, AELM terpaksa dibatalkan berikutan krisis domestik di Chile. 

"Oleh itu, adalah amat penting bagi Malaysia untuk memperlihatkan kepemimpinan serantau dan berusaha untuk
menyiapkan Deklarasi Pemimpin tahun ini bagi perbincangan AELM pada November," jelas MITI.

Sebelum AELM bermula, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) pada 16 November 2020. 

AMM berfungsi sebagai mesyuarat penutup bagi semua Mesyuarat Menteri-Menteri APEC untuk tahun ini. Ia juga merupakan sebuah platform untuk menilai semula semua status kerja yang dilakukan di rantau ini.

Jelas MITI, sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia telah melakar sejarah apabila mentransformasikan cara penganjuran APEC dengan menjalankan Mesyuarat APEC dalam format maya sepenuhnya. 

Antara Mesyuarat Peringkat Menteri APEC yang dijalankan secara maya tahun ini adalah Mesyuarat Peringkat Menteri untuk Perdagangan, Kesihatan, Kewangan, Wanita dan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

"Penganjuran tahun ini tentunya akan dikenang sebagai tahun di mana Malaysia mempelopori teknologi digital untuk menjayakan mesyuarat-mesyuarat APEC. 

"Pencapaian ini menunjukkan kepemimpinan, inovasi, pragmatisme dan ketahanan Malaysia sebagai tuan rumah APEC pada tahun yang penuh mencabar ini." katanya.

Tahun ini adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah APEC dan setelah menganjurkannya buat kali pertama pada 1998. 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai APEC 2020, sila layari www.myapec2020.my atau ikuti APEC 2020 di media sosial. - DagangNews.com