MALAYSIA BUKTIKAN KREDIBILITI PACU EKONOMI APEC | DagangNews Skip to main content

MALAYSIA BUKTIKAN KREDIBILITI PACU EKONOMI APEC

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

PERSIDANGAN Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 melabuhkan tirai dengan jayanya pada 20 November lalu. Persidangan tersebut pada awalnya menjadi debaran kepada negara ekonomi APEC khususnya tuan rumah Malaysia kerana penganjuran tahun ini adalah yang pertama dijalankan secara maya.

 

Kejayaan penganjuran APEC 2020 dibuktikan melalui mesyuarat maya pertama iaitu Mesyuarat Proses Menteri-Menteri Kewangan APEC (AVFMM) yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Mesyuarat yang dijalankan pada 26 September 2020 itu adalah sebagai platform perkongsian idea berkaitan intervensi fiskal dan kewangan bagi mengurangkan impak ekonomi berikutan pandemik COVID-19.

 

Dalam penganjuran mesyuarat utama pula, Malaysia juga berjaya menjalankan Mesyuarat Rumusan Pegawai Kanan (CSOM) pada 13 November lalu.

 

CSOM yang dipengerusikan oleh Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob itu mendapat pujian Pegawai-Pegawai Kanan ekonomi APEC terhadap peranan Malaysia dalam menyediakan kepimpinan dan memastikan kejayaan APEC 2020, meskipun menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

 

APEC
Hairil Yahri Yaacob

 

Pegawai-Pegawai Kanan ekonomi APEC memberitahu, menuju ke peringkat akhir APEC 2020 pada ketika itu, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat baik dalam menguruskan impak daripada COVID-19 mengenai Mesyuarat APEC dan menyatakan harapan agar elemen positif berkenaan berterusan hingga ke acara kemuncak iaitu Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

 

Selain CSOM, Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Ke-4 yang dijalankan pada 17 November pula menekankan kepada keperluan dan komitmen kerajaan APEC untuk bersama-sama mengatasi pandemik COVID-19 dengan menerapkan visi kukuh secara kolektif.

 

Pengerusi ABAC, Datuk Rohana Mahmood memberitahu, mesyuarat berkenaan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghasilkan dua laporan penting untuk APEC 2020.

 

Seperti sebelumnya, ABAC hanya menghasilkan satu laporan yang mengandungi cadangan mengenai hala tuju pemantapan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan rantau Asia Pasifik.

 

Kebiasanaan tersebut bagaimanapun berubah apabila majlis penasihat berkenaan perlu menyediakan satu laporan tambahan mengenai impak COVID-19 bersama cadangan yang perlu dilakukan bagi memulihkan semula ekonomi serantau.

 

Kedua-dua laporan itu berjaya disiapkan tepat pada masanya sekali gus membuktikan komitmen Malaysia dan anggota ABAC untuk mengembalikan ekonomi serantau di landasan pemulihan yang kukuh.

 

Kejayaan APEC 2020 di Malaysia diteruskan dengan penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) secara maya yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

azminali
Mohamed Azmin Ali

 

Mesyuarat yang dijalankan pada 16 November 2020 itu menggariskan kepada keperluan visi dan penyelesaian yang mampan dan jangka panjang untuk menangani impak serta cabaran COVID-19.

 

Penyelesaian berkenaan penting bagi mendepani sebarang kemungkinan luar jangka lain pada masa hadapan yang mampu menjejaskan negara serantau di peringkat global.

 

Mesyuarat AMM juga membuat saranan penting kepada kebersatuan ekonomi APEC untuk memastikan akses yang adil terhadap vaksin COVID-19 secara selamat, berkesan dan berpatutan.

 

Bermula 19 November pula, Dialog CEO APEC 2020 dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Dalam ucapan pembukaan beliau itu, Muhyiddin menggariskan tiga kunci utama yang perlu dititikberatkan oleh anggota APEC dalam menambah baik kerjasama dengan sektor swasta sekali gus memastikan kelestarian ekonomi serantau pada masa hadapan.

 

Tiga kunci utama yang ditekankan adalah seperti berikut;

1) Meneguhkan sokongan dan komitmen dalam sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan. Hal ini penting bagi perniagaan kerana kestabilan dan ramalan pasaran adalah tonggak utama bagi memastikan perdagangan dan pelaburan terus berjalan seiring meskipun dalam tempoh krisis.

 

2) Meningkatkan ekonomi digital seiring dengan keperluan yang mendesak untuk mencipta peluang pekerjaan dan menempatkan para pekerja ke pasaran pekerjaan.

 

3) Pertumbuhan ekonomi inklusif dan menekankan kepada pemulihan serta pertumbuhan ekonomi yang seiring bagi memastikan tiada yang akan ketinggalan.

 

APEC

 

Kemuncak APEC 2020 melalui penganjuran Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin secara maya pada 20 November 2020.

 

Mesyuarat berkenaan disertai oleh 21 pemimpin ekonomi APEC dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.

 

APEC
MUHYIDDIN YASSIN (tengah) mempengerusikan mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) bersama Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Hishamuddin Tun Hussein di Putrajaya, 20 November lalu.

 

AELM berjaya memberi penekanan terhadap beberapa agenda penting termasuk menggesa campur tangan pemimpin merangkumi tindak balas ekonomi APEC dalam mengurangkan kesan kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

Mesyuarat berkenaan juga berjaya menghasilkan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 yang memahatkan Visi Putrajaya 2040 sebagai aspirasi baharu kepada komuniti APEC untuk pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh 20 tahun akan datang.

 

Visi yang disepakati oleh pemimpin APEC itu memberi penekanan kepada komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan sejahtera menjelang tahun 2040.

 

AELM itu juga turut membuat simbolik penyerahan maya tanggungjawab Pengerusi APEC 2021 kepada New Zealand.

 

Penyerahan kedudukan sebagai tuan rumah APEC 2021 kepada New Zealand itu diterima oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

 

APEC
Muhyiddin Yassin berbicara dengan Jacinda Arden secara maya pada mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) sekali gus menyerahkan peranan pengerusi APEC kepada New Zealand.

 

PERMULAAN LANGKAH APEC 2021 NEW ZEALAND

New Zealand adalah salah sebuah daripada 12 negara anggota pengasas APEC yang merancang untuk memacu perjalanan APEC ke arah pemulihan disebabkan impak krisis kesihatan dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini, selaras dengan tanggungjawabnya sebagai tuan rumah kepada penganjuran APEC 2021.

 

New Zealand telah mengambil alih tanggungjawab kepemimpinan sebagai tuan rumah APEC daripada Malaysia selaku tuan rumah kepada APEC 2020 seperti yang telah dinyatakan dalam pernyataan bertulis yang dikeluarkan oleh sekretariat APEC.

 

Meneruskan norma penganjuran secara maya, New Zealand juga bakal menganjurkan persidangan tersebut sepenuhnya secara dalam talian seperti yang diumumkan pada Jun tahun ini, sekali gus menyerlahkan kepemimpinan diplomasi digital New Zealand dalam tempoh wabak COVID-19.

 

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern dalam satu video pengenalan New Zealand sebagai tuan rumah APEC 2021 pada 20 November baru-baru ini berkata, kerjasama pemulihan ekonomi melalui APEC adalah perancangan pemulihan daripada wabak COVID-19 yang akan membantu pertumbuhan semula ekonomi wilayah dan global.

 

Menurutnya, New Zealand akan mewujudkan persekitaran yang mana perhubungan dapat diwujudkan dan gerak kerja APEC dapat diteruskan termasuk perkembangan kepada kelestarian, penggunaan alat digital secara meluas untuk mendorong produktiviti dan pengembangan kepada perancangan inklusif bagi mencipta peluang kepada semua masyarakat.

 

Beliau turut memberi keyakinan bahawa penganjuran APEC 2021 akan menjadi titik permulaan kepada kemunculan pertumbuhan, kelangsungan perdagangan dan merangka perancangan pemulihan jangka panjang di seluruh wilayah.

 

Sementara itu, Pengerusi Pegawai-Pegawai Kanan APEC 2021, Vangelis Vitalis dalam taklimat maya pada 23 November baru-baru ini menekankan kepada kepentingan untuk bekerjasama dalam tempoh krisis dan perdagangan adalah satu bahagian terpenting dalam perjalanan pemulihan ekonomi.

 

Vangelis Vitalis

 

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Ekonomi dan Perdagangan di Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan New Zealand turut memberi harapan agar dapat menerapkan pendekatan yang lebih praktikal dalam polisi perdagangan dan ekonomi yang diperlukan untuk memacu pemulihan dan membawa ekonomi APEC untuk maju ke hadapan.

 

"Kami juga menggalakkan lebih banyak perbincangan yang bukan sahaja kita dapat membina ekonomi yang baik, tetapi untuk membangunkan kembali ke arah yang lebih mantap dan inklusif agar proses pemulihan lebih kukuh dan berkekalan.

 

"Kami juga menggariskan kepentingan aspek digital dan inovasi dalam memacu pemulihan, meningkatkan produktiviti dan kecekapan di samping menjaga penglibatan dan jaringan perhubungan yang berterusan sepanjang tempoh penutupan sempadan dan perintah berkurung," jelas beliau.

 

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Rebecca Sta Maria pula meletakkan harapan agar kejayaan penganjuran APEC secara maya yang ditonjolkan di Malaysia pada tahun ini dapat diteruskan oleh New Zealand pada tahun hadapan, termasuk merangka program untuk merealisasikan Visi Putrajaya 2040.

 

Sta Maria
Rebecca Sta Maria

 

Pihaknya bersiap sedia untuk memberi sokongan penuh kepada New Zealand dalam visi untuk membuka jalan bagi wilayah APEC untuk lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari.

 

New Zealand akan memulakan tanggungjawab sebagai tuan rumah APEC 2021 dengan penganjuran simposium dan Mesyuarat Informal Senior Officials pada Disember 2020.

 

Penganjuran tersebut disusuli dengan perjumpaan rasmi kali pertama pegawai-pegawai kanan pada awal tahun 2021. - DagangNews.com

 

APEC

 

 

APEC