Segmen hartanah perindustrian Malaysia terus dipacu peralihan rantaian bekalan global, peningkatan pelaburan pusat data - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Segmen hartanah perindustrian Malaysia terus dipacu peralihan rantaian bekalan global, peningkatan pelaburan pusat data - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Dis - AmInvestment Bank Research percaya segmen hartanah perindustrian Malaysia akan dipacu dua faktor utama pada 2025 iaitu peralihan rantaian bekalan global akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan peningkatan pelaburan pusat data. 

 

Katanya, ketegangan perdagangan yang meningkat antara AS-China telah membawa kepada peralihan rantaian bekalan global, meletakkan Malaysia sebagai hab strategik, menarik peningkatan tahap Pelaburan Langsung Asing (FDI) daripada syarikat global seperti Intel Corp, Texas Instruments, Infineon Technologies, Lam Research dan Geely.

 

Firma penyelidikan itu berkata, FDI yang diluluskan meningkat pada 2023 berbanding 2022 dengan kelulusan tertinggi untuk produk elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan jentera dan sektor kimia.

 

"FDI yang diluluskan pada separuh pertama 2024 meningkat sebanyak 16.7% kepada RM74.5 bilion daripada RM63.8 bilion setahun yang lalu.

 

"Kemasukan FDI akan merangsang permintaan untuk hartanah perindustrian. Kami melihat syarikat hartanah mula membina taman perindustrian bagi memenuhi permintaan kukuh untuk hartanah perindustrian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, Malaysia menyaksikan pelaburan digital yang diluluskan berjumlah RM141 bilion untuk sepuluh bulan 2024 selain jumlah pelaburan yang diluluskan daripada pusat data berjumlah RM114.7 bilion dari 2021-2023.

 

Katanya, jumlah permintaan maksimum yang dipasang pada akhir September 2024 ialah 1.7GW. 

 

Bagi jangka panjang, Tenaga Nasional Bhd (TNB) melihat potensi permintaan maksimum daripada pusat data melebihi 5GW menjelang 2035 yang sejajar dengan jangkaan MITI bahawa pusat data mengunjurkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 4.7GW dalam tempoh 10 tahun akan datang di Malaysia.

 

"Pada masa ini, syarikat hartanah dengan bank tanah yang besar mungkin menerima manfaat daripada pelaburan pusat data yang semakin meningkat melalui penjualan bank tanah kepada pengendali pusat data, menjalin usaha sama dengan pengendali pusat data atau memajak pusat data kepada pengendali," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "overweight" dengan keutamaan diberikan kepada syarikat yang membina pendapatan berulang yang akan memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang. - DagangNews.com