KUALA LUMPUR 24 Dis - Langkah sementara bagi menangani kenaikan kos premium insurans perubatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bakal menaikkan tekanan pendapatan kepada penanggung insurans, kata Kenanga Research.
Mengulas mengenai langkah-langkah ini, firma penyelidikan itu berkata, pelarasan premium tahunan insurans perubatan dan kesihatan dan produk takaful dengan penentuan harga semula akan dijalankan secara berperingkat selama sekurang-kurangnya tiga tahun pada had tahunan 10%.
Secara keseluruhannya, ia berkata, langkah tersebut akan memberi kesan negatif kepada penanggung insurans kerana pelarasan premium mungkin tidak sejajar dengan kadar inflasi kos perubatan.
“Berikutan tempoh pelarasan premium tiga tahun, kami berpendapat pengendali insurans dan takaful (ITO) akan menghadapi tekanan pendapatan yang lebih besar sekiranya tuntutan dibuat adalah lebih tinggi daripada yang boleh diselaraskan.
Di samping itu, kelonggaran bagi pemegang polisi yang luput untuk mengembalikan polisi lama tanpa keperluan taja jamin tambahan juga boleh menimbulkan kebarangkalian tuntutan yang lebih tinggi.
“Secara keseluruhannya, ia boleh membawa kepada nisbah gabungan yang lebih tinggi untuk ITO dalam segmen perubatan, walaupun inflasi perubatan dijangka berterusan melepasi kitaran pelarasan premium pada tiga tahun akan datang.
“Berkenaan dengan ITO di bawah perlindungan kami, insurans perubatan mewakili kurang daripada 10% daripada jumlah caruman premium kasar dalam kedua-dua LPI Capital Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd dan oleh itu dijangka tidak terjejas dengan ketara oleh langkah sementara itu.
"Kebanyakan tuntutan mereka dibayar adalah diperoleh daripada motor (50%) dan produk berkaitan kredit (50%)," katanya.
Bagaimanapun, Kenanga Research berkata, prospek sektor penjagaan kesihatan dilihat sedikit positif terhadap perkembangan terbaharu ini, terutamanya kepada pengendali penjagaan kesihatan swasta.
Katanya, langkah tersebut yang memberikan kelegaan jangka sederhana dan tidak seteruk yang dikhuatiri pada awalnya sementara menunggu penjelasan lanjut mengenai sistem kumpulan berkaitan diagnostik (DRG).
Malah, ia berkata, hospital di bawah liputannya iaitu IHH Healthcare Bhd dan KPJ Healthcare Bhd telah memulakan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, yang serupa dengan sistem DRG.
Sementara menunggu perkembangan dan penjelasan lanjut mengenai DRG, Kenanga Research terus kekal positif terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang sektor penjagaan kesihatan.
Firma penyelidikan tersebut berkata, sektor itu akan terus disokong oleh populasi yang semakin tua, peningkatan kemewahan dan peningkatan kes penyakit kronik di seluruh dunia.- DagangNews.com