Anak syarikat ECM Libra, OHG Services setuju bayar RM29.9 juta lanjutkan perjanjian konsesi hotel di KLIA selama 35 tahun | DagangNews Skip to main content

Anak syarikat ECM Libra, OHG Services setuju bayar RM29.9 juta lanjutkan perjanjian konsesi hotel di KLIA selama 35 tahun

Tune Hotel KLIA2 adalah antara hotel kendalian ECM Libra. Gambar/FB Tune Hotels
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Dis - ECM Libra Group Bhd mengumumkan, anak syarikatnya dengan pemilikan 50%, OHG Services Sdn Bhd, bersetuju untuk membayar Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd sebanyak RM29.9 juta bagi melanjutkan perjanjian konsesi untuk mengurus dan mengendalikan hotel berkhidmat terhad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama 35 tahun.

 

Lanjutan perjanjian itu, yang dimuktamadkan melalui perjanjian tambahan, akan memanjangkan tarikh tamat perjanjian konsesi dari 31 Januari 2034 kepada 11 Februari 2069.

 

"Perjanjian asas konsesi asalnya dilaksanakan antara Malaysia Airports (Properties) Sdn Bhd dan OHG pada 5 April 2013. Ia kemudian dipindahkan kepada Malaysia Airports (Sepang) pada 12 Disember 2023," kata syarikat itu dalam pengisytiharan kepada bursa.

 

Menurut laporan tahunan ECM Libra, OHG Services memegang konsesi untuk mengurus dan mengendalikan Tune Hotel KLIA2, serta menjalankan operasi makanan dan minuman di hotel yang sama.

 

OHG merupakan syarikat usaha sama 50:50 antara ECM Libra dan TP Real Estate Holdings Pte Ltd, sebuah unit milik penuh Plato Capital Ltd yang tersenarai di Singapura.

 

Pengerusi Eksekutif ECM Libra, Datuk Lim Kian Onn, adalah pemegang saham utama Plato Capital dengan kepentingan 79.81%.

 

Secara berasingan, beliau memiliki 13.39% kepentingan langsung dalam ECM Libra dan memegang 27.22% lagi dalam syarikat itu melalui pegangan tidak langsung.

 

ECM Libra berkata, lanjutan konsesi berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan sepanjang tempoh lanjutan tersebut.

 

Selain Tune Hotel KLIA2, ECM Libra juga mengendalikan hotel-hotel lain seperti Tune Hotels di KLIA Aeropolis, Penang, Kota Kinabalu, Danga Bay dan Liverpool, serta hotel The Chow Kit milik Ormond. - DagangNews.com