Malaysia antara 5 negara paling terjejas jika tercetus konflik ketenteraan antara China-Taiwan | DagangNews Skip to main content

Malaysia antara 5 negara paling terjejas jika tercetus konflik ketenteraan antara China-Taiwan

Taiwan merupakan lima rakan dagang terbesar Malaysia, selepas China, Singapura, AS dan Jepun.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Sept - Malaysia dan rantau ASEAN akan lebih terkesan sekiranya ketegangan antara China-Taiwan mencetuskan konflik ketenteraan berbanding perang Rusia-Ukraine yang berlaku ketika ini, demikian menurut MIDF Research. 

 

Lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan pada awal Ogos lalu menyebabkan China bertindak balas dan melancarkan siri ketenteraan di sekitar Taiwan. 

 

Walaupun Beijing mengumumkan penamatan latihan ketenteraan pada 10 Ogos 2022, persiapan dan latihan untuk perang akan diteruskan kerana China kekal komited terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan jika pendekatan diplomatik 'dengan cara aman' tidak membuahkan hasil.

 

Menjelang akhir bulan lalu, ketegangan semakin memuncak apabila Taiwan melepaskan tembakan amaran kepada dron China berikutan arahan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen untuk 'tindak balas yang kuat' menentang provokasi dari China.

 

Dengan perkembangan terbaharu ini, MIDF Research berpendapat kemungkinan berlaku risiko serangan ketenteraan ke atas Taiwan adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini, meskipun ia adalah demi kepentingan semua pihak untuk mengekalkan kestabilan dan keamanan di rantau ini.

 

Menurutnya, latihan ketenteraan itu dilihat sebagai satu bentuk protes diplomatik oleh China kerana dakwaannya bahawa lawatan pegawai AS ke Taiwan adalah melanggar kedaulatannya.

 

"Namun, risiko yang paling besar ialah permulaan perang di rantau Asia Timur Laut, yang akan memberi kesan negatif kepada ekonomi global dan perdagangan antarabangsa.

 

"Jika China meneruskan rancangannya untuk melancarkan serangan ke atas Taiwan, kami menjangkakan aktiviti perdagangan akan terjejas kerana semua laluan perdagangan ke ekonomi Asia Timur Laut akan dihentikan," jelasnya dalam laporan tematik mengenai konflik China-Taiwan yang dikeluarkan hari ini. 

 

Sumber : MIDF Research

 

Sekiranya tindakan ketenteraan diambil tanpa campur tangan negara lain, kesan kepada aktiviti perdagangan dijangka sementara kerana China mungkin mahu menamatkan perang dengan cepat dan memastikan perdagangan disambung semula.

 

Namun begitu, MIDF Research menjangkakan sekatan yang lebih ketat akan dikenakan oleh pasaran Barat terhadap perdagangan dengan China.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat Malaysia akan menerima kesan secara langsung daripada kejatuhan rantaian perdagangan dan pengeluaran serantau dan sekatan yang dikenakan oleh dunia terhadap perdagangan dengan China.

 

"Tetapi, kami meramalkan kebarangkalian yang lebih rendah untuk senario ini berlaku kerana kami tidak fikir AS dan sekutunya akan duduk diam tanpa memberikan sebarang sokongan ketenteraan kepada Taiwan," katanya. 

 

Mengulas lebih lanjut, firma itu berkata, jika berlaku konflik ketenteraan antara Taiwan dan China, simulasi model berkaitan global mengandaikan penguncupan -1% bagi kedua-dua negara tersebut.

 

Malah, katanya, perbelanjaan dan pengeluaran domestik yang terhad, aliran keluar pelaburan akan menjejaskan ekonomi dengan ketara.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan pengeluaran global akan menyusut -0.16%. Malaysia pula antara lima negara utama paling terjejas dengan kadar penguncupan -0.091%.

 

"Dalam kalangan 10 buah negara teraras, empat daripadanya adalah dalam kalangan negara ASEAN iaitu Singapura, Malaysia, Vietnam dan Brunei," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Berdasarkan jumlah dagangan pada separuh pertama 2022, jumlah dagangan dengan Taiwan mencecah RM73.8 bilion, meningkat 38.4% tahun ke tahun berbandong tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Perdagangan dengan Taiwan menyumbang 5.5% daripada jumlah dagangan Malaysia sebanyak RM1.36 trilion dalam tempoh tersebut.

 

Ini meletakkan Taiwan sebagai lima rakan dagang terbesar Malaysia, selepas China, Singapura, AS dan Jepun.

 

Firma itu mendapati, sebagai pasaran eksport kesembilan terbesar dan sumber import ketiga terbesar untuk Malaysia pada separuh pertama 2022, kesan langsung daripada pemberhentian sepenuhnya dalam perdagangan dengan Taiwan akan menghapuskan sehingga 3.5% daripada jumlah eksport Malaysia dan 7.3% daripada jumlah import.

 

Ia menjangkakan pengeluaran Malaysia akan diseret turun antara lain oleh tenaga-perlombongan, produk kayu, logam asas dan produk petroleum ditapis sekiranya berlaku kelembapan dalam ekonomi China dan Taiwan.

 

"Kami percaya faktor langsung dan tidak langsung menyebabkan pelbagai sektor terjejas terutamanya Malaysia, China dan Taiwan terlibat dalam rantaian bekalan global dan serantau bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), khususnya produk komputer, elektronik dan optik.

 

"Sebagai salah satu negara pengeluar perlombongan, pengeluaran Malaysia, dan penghantaran keluar perlombongan dan produk petroleum ditapis akan terjejas kerana China, Taiwan dan negara Asia utama yang lain merupakan pengimport utama tenaga bagi produk Malaysia," katanya.

 

Menurut MIDF Research, laluan perkapalan Malaysia juga akan terjejas teruk sekiranya tercetus konflik ketenteraan antara China-Taiwan memandangkan lebih satu pertiga daripada eksport menuju ke rantau ini.

 

Setakat Jun 2022, sebanyak 31.4% daripada jumlah eksport Malaysia adalah untuk pasaran China, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

 

"Mengikut sektor, kami meramalkan, eksport E&E, gas asli cecair (LNG), minyak sawit, produk petroleum dan pembuatan logam akan paling terjejas," tambahnya. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagaimanapun, firma itu menyatakan kebimbangannya sekiranya konflik ketenteraan itu adalah lebih meluas hingga menggugat semua laluan perdagangan (kedua-dua laut dan udara) berhampiran Taiwan dan bukan sekadar membabitkan ekonomi Asia Timur Laut. 

 

Ini kerana, katanya, aktiviti perdagangan dan pengeluaran Malaysia boleh mengalami penguncupan yang lebih ketara jika mempertimbangkan kesan kejatuhan dan gangguan yang lebih meluas kepada perdagangan Malaysia dengan rakan perdagangan lain seperti ASEAN, AS dan negara-negara Eropah.

 

"Penghantaran ke semua tiga pasaran ini menyumbang sebanyak 47.9% daripada jumlah eksport Malaysia pada separuh pertama 2022.

 

"Berdasarkan model berkaitan global kami, penguncupan -1.0% China akan mengheret ekonomi dunia sebanyak -0.16% dan pengeluaran Malaysia sebanyak -0.085%. 

 

"Lebih buruk lagi, jika ekonomi AS merosot sebanyak -1% akan menghakis pengeluaran dunia sebanyak -0.255% dan Malaysia sebanyak -0.057%," jelasnya.

 

Sumber : MIDF Research

 

Menurut MIDF Research, disebabkan tuntutan asing yang lebih besar ke atas China dan Taiwan, kesan ketidakstabilan perang di Taiwan dijangka lebih memudaratkan pasaran Asia, lebih ketara berbanding perang Rusia-Ukraine yang bermula awal tahun ini.

 

Katanya, walaupun terdapat aliran keluar daripada pasaran ekuiti Taiwan berikutan ketegangan terkini dengan China, tindakan ketenteraan ke atas Taiwan meningkatkan risiko pengeluaran modal dari Taiwan dan pasaran Asia Timur yang lain.

 

"Sentimen dalam pasaran juga akan lemah berikutan peningkatan dalam perang perdagangan dan kemungkinan kelembapan dalam perdagangan antarabangsa disebabkan peraturan perdagangan yang lebih ketat dikenakan ke atas China," katanya.

 

Selain daripada serangan oleh China, firma itu tidak menjangkakan peningkatan ketegangan akan membawa kepada perang langsung dan tindakan ketenteraan ke atas Taiwan, sekurang-kurangnya bukan dalam masa terdekat. 

 

Ia juga menjadi kepentingan kepada China untuk memelihara keamanan (dengan itu menafikan casus belli untuk kuasa luar) di rantau ini. 

 

"Bagi senario tiada tindakan ketenteraan ke atas Taiwan tetapi sekatan dikenakan ke atas China, 
lebih banyak sekatan ekonomi dan latihan ketenteraan yang lebih besar (kemungkinan lebih menakutkan) mungkin dilaksanakan China sebagai ganti penglibatan ketenteraan secara terang-terangan, adalah dan kemungkinan besar hasilnya," jelasnya.

 

Jika senario itu diambil kira, MIDF Research menjangkakan konflik China-Taiwan tidak akan memberi kesan yang ketara kepada perdagangan Malaysia. 

 

Sebaliknya, kebangkitan semula perang perdagangan antara AS (bersama sekutunya) dan China menanggung risiko yang lebih besar untuk menjejaskan kestabilan aktiviti perdagangan global, dan Malaysia (disebabkan oleh pergantungan perdagangan yang tinggi terutamanya kepada China, AS, Eropah dan Jepun) mungkin terperangkap di tengah-tengah konflik yang tercetus. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kesan jangka pendek (perdagangan) disebabkan oleh potensi gangguan dalam perdagangan luar Malaysia tetapi dengan kemungkinan keuntungan jangka panjang (pelaburan) seperti yang mungkin berlaku apabila beberapa syarikat multinasional berpindah keluar dari China ke negara Asia Selatan dan Asia Tenggara, termasuk Malaysia," katanya.

 

Mengambil kira senario ini juga, firma itu berpendapat ketegangan China-Taiwan tidak menjejaskan pasaran ekuiti tempatan dengan ketara.

 

"Oleh itu, buat masa ini, kami tidak menjangkakan konflik antara kedua-dua negara ini akan menjejaskan sasaran FBM KLCI akhir 2022 kami sebanyak 1,600 mata," menurutnya. - DagangNews.com