Saravanan (kanan) bersama Imran Ahmad mempamerkan MoU yang dimeterai mengenai pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia di Kuala Lumpur, 19 Disember 2021.
PUTRAJAYA 19 Dis - Menteri Sumber Manusia Datuk Seri S Saravanan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung pengambilan pekerja Bangladesh ke Malaysia dengan rakan sejawatannya dari negara itu, Imran Ahmed di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Saravanan, MoU tersebut adalah susulan daripada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri agar ia dimuktamadkan segera.
Beliau berkata, MoU terdahulu telah tamat tempoh pada 17 Februari 2021, dan MOU baharu ini akan berkuatkuasa selama 5 tahun sehingga Disember 2026.
MOU ini antara lain menggariskan tanggungjawab Kerajaan Malaysia dan Bangladesh termasuklah majikan dari Malaysia dan pekerja dari Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta kedua-dua negara.
Pelaksanaan MOU ini akan dikawal selia oleh satu Kumpulan Kerja Bersama (Joint Working Group – JWG) yang dianggotai oleh keduadua negara.
Sehingga 30 November 2021, sejumlah 326,669 pekerja warga Bangladesh bekerja di Malaysia dengan jumlah majoriti di sektor perkilangan (111,694) dan sektor pembinaan (136,897).
''Pemeteraian MOU ini dijangka dapat menampung keperluan mendesak untuk guna tenaga asing termasuk di sektor perladangan yang telahpun diluluskan oleh Jemaah Menteri sebanyak 32,000 secara pengecualian khas.
''Hal ini kerana terdapatnya kekangan bagi kemasukan pekerja warga Indonesia bagi sektor perladangan sehinggalah MOU berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dimeterai,'' ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kementerian Sumber Manusia juga telah menetapkan bahawa majikan yang ingin menggajikan pekerja asing perlu menyediakan kemudahan perumahan atau penginapan seperti mana yang terkandung dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
Ini adalah bertujuan bagi menangani elemen buruh paksa yang berkaitan dengan kemudahan penginapan atau perumahan pekerja.
Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021 untuk membenarkan pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain daripada sektor perladangan yang telah dipersetujui sebelum ini, Prosedur Tetap Operasi (SOP) bagi kemasukan pekerja asing ke semua sektor telah diperkemas dan ditambah baik.
SOP ini merangkumi 4 fasa iaitu pra-pelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin. Fasa pra-pelepasan termasuklah aspek keperluan vaksinasi lengkap COVID-19 di negara sumber dan ujian saringan RT-PCR dilakukan dua hari sebelum pelepasan.
Dalam fasa ketibaan, pekerja warga asing cuma dibenarkan masuk melalui satu pintu masuk antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi laluan udara. Manakala, Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian serta Rantau Panjang adalah bagi laluan darat yang terhad kepada kru vessel penangkapan ikan warga Thailand.
Bagi fasa selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin, pekerja asing akan ditempatkan di pusat kuarantin di Lembah Klang selama 7 hari di mana ujian saringan akan dibuat pada hari kedua dan kelima tempoh kuarantin.
Dalam fasa pasca kuarantin pula, pekerja warga asing akan dibawa ke tempat kerja masing-masing dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan oleh FOMEMA.
Dalam hal ini, kemasukan pekerja asing termasuk pekerja warga Bangladesh akan dipantau ketat berdasarkan SOP tersebut oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. - DagangNews.com