KUALA LUMPUR 17 Dis. - Malaysia dalam perancangan untuk mengkaji semula pendekatan yang diambil dalam industri pertanian bagi memajukan sektor berkenaan.
Ini dilaksanakan menerusi langkah memodenkan sektor berkenaan dan pertanian pintar dalam meningkatkan pendapatan petani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sektor itu penting kepada ekonomi terutamanya apabila pandemik COVID-19 telah membawa perspektif baharu dalam jaminan makanan dan mewujudkan pekerjaan.
“Pada masa depan, kami mahu memastikan sektor ini terus berkembang. Pertanian pintar akan menjadi subjek yang penting.
“Kami mahu memodenkan pertanian, mendapatkan lebih banyak teknologi dan menggalakkan golongan muda menyertai sektor ini,” katanya pada sesi dialog dengan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Dr. Firas Raad, menurut laporan Bernama.
Sesi itu diadakan bersempena dengan pelancaran laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia ‘Sowing the Seeds’, yang terkini secara maya oleh Bank Dunia hari ini.
Dalam masa sama, kerajaan juga merancang untuk mentransformasikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) pada tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Kerajaan akan mempelbagaikan aliran pendapatan peneroka yang kini bergantung kepada penanaman kelapa sawit dan getah, kata Mustapa.
Penternakan lembu mungkin antara bidang yang berpotensi untuk dipertimbangkan, katanya lagi.
Sementara itu, kata Mustapa, rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) merupakan peluang kepada Malaysia untuk menggariskan dengan jelas potensi sektor pertanian dan peranan kerajaan dalam memudahkan transformasinya.
Jelasnya, Malaysia boleh membina sektor pertanian yang lebih bertindak balas terhadap ekonomi makanan kontemporari negara.
Ini termasuk membangunkan kapasiti untuk membekalkan lebih banyak makanan bernilai tinggi untuk rantau ini dan Malaysia, termasuk pelbagai beras wangi.
“Malaysia juga boleh menjadi peneraju dalam membekalkan produk yang ‘sihat dan selamat’ ke rantau ini, dan melabur lebih banyak dalam modal insan yang diperlukan untuk mentransformasikan kompleks agro makanan Malaysia.
“Ini termasuk melatih dan menarik generasi usahawan sistem agro makanan yang akan datang dalam pelbagai bidang,” katanya. - DagangNews.com