Malaysia capai lebihan akaun semasa RM22.8 bilion pada 2023, lebihan lebih rendah RM253.4 juta pada suku keempat - DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia capai lebihan akaun semasa RM22.8 bilion pada 2023, lebihan lebih rendah RM253.4 juta pada suku keempat - DOSM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Feb – Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia merekodkan lebihan RM253.4 juta manakala akaun kewangan berubah kepada aliran keluar bersih RM19.9 bilion pada suku tahun keempat 2023. 

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi keseluruhan tahun 2023, CAB mencapai lebihan sebanyak RM22.8 bilion manakala akaun kewangan mencatatkan aliran keluar bersih berjumlah RM18.9 bilion.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan CAB sebanyak RM253.4 juta pada suku keempat 2023 disokong oleh komponen Perjalanan.

 

Katanya, dalam konteks suku tahunan, eksport bersih Akaun Barangan mencatatkan RM30.8 bilion pada suku tahun keempat berbanding RM32.7 bilion pada suku sebelumnya.

 

"Eksport barangan meningkat 6.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2023 untuk merekodkan RM275.9 bilion.

 

"Eksport utama ialah barangan Elektrik & elektronik (E&E), produk Petroleum dan Minyak kelapa sawit & hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit, terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat (USA)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kata Dr Mohd Uzir, begitu juga, import Barangan turut menunjukkan peningkatan 7.6 peratus suku ke suku untuk mencapai RM245.1 bilion, terutamanya disumbangkan oleh barangan Perantaraan dengan China, Singapura dan USA adalah sumber utama import.

 

"Eksport Perkhidmatan meningkat 8.7 peratus suku ke suku untuk merekod RM55.0 bilion. Import Perkhidmatan juga menunjukkan trend yang sama dengan pertumbuhan suku tahunan sebanyak 2.5 peratus berjumlah RM62.4 bilion. 

 

"Lebihan perjalanan mencatatkan RM6.5 bilion pada suku ini, menunjukkan peningkatan sebanyak 18.9 peratus berbanding suku sebelumnya," jelas beliau.

 

cab

 

Di samping itu, kata Dr Mohd Uzir, defisit yang lebih rendah dalam Perkhidmatan juga disokong oleh lebihan yang lebih tinggi dalam Pembinaan pada RM1.2 bilion berbanding RM0.5 bilion pada suku sebelumnya.

 

Namun begitu, Ketua Perangkawan itu berkata, akaun Pendapatan primer mencatatkan defisit yang tinggi sebanyak RM20.9 bilion berbanding RM11.0 bilion pada suku sebelumnya. 

 

"Akaun ini merujuk kepada terimaan dan bayaran pendapatan Malaysia dari segi aset kewangan dan lain-lain, termasuk pampasan pekerja.

 

"Defisit yang lebih tinggi ini disumbangkan oleh peningkatan dalam pembayaran bersih daripada pelaburan langsung, berjumlah RM16.9 bilion. Pada masa yang sama, akaun Pendapatan sekunder turut merekodkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM2.3 bilion pada suku tahun keempat 2023," ujarnya.

 

Mengulas lanjut mengenai statistik Imbangan Pembayaran, Ketua Perangkawan Malaysia menambah, Akaun Kewangan berubah arah daripada aliran masuk bersih RM14.9 bilion pada suku sebelumnya kepada aliran keluar bersih RM19.9 bilion pada suku keempat 2023.

 

Jelas beliau, perubahan ini terutamanya disebabkan oleh aliran keluar dalam Pelaburan lain sebanyak RM14.4 bilion dan Derivatif kewangan pada RM3.8 bilion. 

 

"Pada masa yang sama, pelaburan Portfolio mencatatkan aliran keluar bersih RM6.4 bilion, manakala Pelaburan Langsung mencatatkan aliran masuk bersih RM4.7 bilion pada suku ini,” katanya.

 

cab2

 

Menurut Dr Mohd Uzir, berdasarkan arah aliran, pelaburan langsung asing (FDI) melonjak daripada aliran masuk bersih RM7.2 bilion kepada RM17.1 bilion pada suku tahun keempat 2023, didorong oleh aliran masuk yang lebih tinggi dalam Ekuiti dan Instrumen hutang.

 

Perkhidmatan kekal sebagai sektor utama FDI, khususnya dalam Kesihatan; dan aktiviti Maklumat & komunikasi, diikuti oleh Pembuatan. Sumber FDI utama ialah Singapura, Hong Kong dan Jepun manakala Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM12.4 bilion berbanding RM13.4 bilion pada suku sebelumnya.

 

Ini disumbangkan oleh aliran keluar dalam Ekuiti & dana pelaburan saham. Sektor utama DIA ialah Perkhidmatan, terutamanya dalam subsektor Bekalan elektrik dan Kewangan, diikuti oleh Perlombongan dan Pembinaan. 

 

"Aliran keluar DIA disalurkan terutamanya ke Singapura, Indonesia dan Belanda," katanya.

 

Bagi merumuskan prestasi tahun 2023, Dr. Mohd Uzir menyatakan bahawa, CAB negara kekal mencatatkan lebihan sebanyak RM22.8 bilion pada tahun 2023 berbanding RM55.1 bilion pada tahun lalu. 

 

Katanya, lebihan CAB yang menyumbang 1.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebahagian besarnya disokong oleh eksport bersih barangan pada RM132.9 bilion.

 

"Melihat kepada prestasi perdagangan perkhidmatan pada 2023, akaun ini mencatatkan defisit RM41.9 bilion, mengecil 25.7 peratus berbanding RM56.4 bilion defisit pada tahun
sebelumnya. 

 

"Perjalanan merupakan penyumbang terbesar dengan lebihan sebanyak RM17.0 bilion berbanding defisit RM1.2 bilion pada tahun 2022. Eksport Perjalanan meningkat dengan ketara daripada RM28.4 bilion bagi tahun sebelumnya kepada RM67.5 bilion pada 2023, mencapai 82.2 peratus daripada paras prapandemik.

 

"Selain itu, komponen Pengangkutan juga menunjukkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM30.6 bilion, didorong oleh terimaan yang lebih tinggi dalam penumpang udara," katanya.- DagangNews.com