Malaysia catat aliran masuk dana asing lebih rendah untuk tempoh 7 minggu berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat aliran masuk dana asing lebih rendah untuk tempoh 7 minggu berturut-turut

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu berakhir Jumaat lalu, yang menyaksikan aliran masuk bersih lebih rendah sebanyak RM15.85 juta, berbanding  RM125.97 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, ia merupakan minggu ketujuh berturut-turut pembelian bersih oleh pelabur asing.

“Ketika bursa dibuka kembali pada Isnin lalu, pelabur asing dan institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan nilai berjumlah RM120.77 juta dan RM17.88 juta.

"Sementara itu, peruncit adalah pembeli bersih bernilai RM138.65 juta," katanya dalam Laporan Dana Mingguan MIDF Research di sini hari ini.

Firma penganalisis itu berkata, pelabur asing merupakan pembeli bersih untuk sebahagian besar minggu lalu kecuali pada hari Isnin dan Jumaat.

Katanya, aliran masuk asing terbesar berjumlah RM117.45 dicatatkan pada Khamis lalu manakala aliran masuk terendah sebanyak RM25.32 dicatatkan pada Rabu.

"Bagi peruncit, mereka adalah pembeli bersih untuk setiap hari dalam seminggu kecuali hari Khamis yang lalu.

"Pembelian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada Isnin manakala pembelian bersih terendah pada Rabu masing-masing berjumlah RM138.65 juta dan RM2.79 juta," katanya.

Jelasnya, secara kumulatif, untuk minggu berkenaan, peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM242.78 juta di Bursa Malaysia.

MIDF Research berkata sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan yang bernilai RM10.28 bilion. -DagangNews.com