Malaysia catat dagangan tertinggi sejak 1994, lepasi paras RM2 trilion | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat dagangan tertinggi sejak 1994, lepasi paras RM2 trilion

KUALA LUMPUR 8 Jun - Malaysia merekodkan pencapaian baharu dengan jumlah perdagangan pada 2021 melepasi paras RM2 trilion dan mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak 1994, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai perdagangan Malaysia mencatat pertumbuhan 2 angka sebanyak 24.8% kepada RM2.2 trilion pada 2021 berbanding RM1.8 trilion pada 2020, selepas mencatatkan pertumbuhan negatif selama 2 tahun berturut-turut.

 

Katanya, semua negeri mencatatkan peningkatan jumlah dagangan yang didominasi oleh Selangor (RM112.6 bilion) diikuti Pulau Pinang (RM94.4 bilion) dan Johor (RM87.4 bilion).

 

"Pada tahun lalu, eksport Malaysia bernilai RM1.24 trilion, meningkat 26% berbanding RM983.8 bilion pada 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Eksport lebih tinggi direkodkan bagi semua negeri iaitu Selangor (RM62.8 bilion), Pulau Pinang (RM49.9 bilion), Johor (RM47.9 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion), Kedah (RM12.8 bilion), Kuala Lumpur (RM12.1 bilion), Perak (RM11.3 bilion) dan Sabah (RM10.4 bilion).

 

Turut mencatatkan eksport yang lebih tinggi adalah Pahang (RM10.3 bilion), Terengganu (RM8.5 bilion), Melaka (RM7.9 bilion), Negeri Sembilan (RM3.1 bilion), Labuan (RM1.0 bilion), Perlis (RM177.2 juta) dan Kelantan (RM97.1 juta).

 

Mohd. Uzir berkata, antara 5 negeri pengeksport utama menyaksikan Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.3% diikuti Johor (20.6%), Selangor (19%), Sarawak (6.8%) dan Kuala Lumpur (3.5 %).

 

Tambahnya, pengembangan eksport disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang.

 

"Selain itu, eksport yang tinggi dicatatkan di Johor, disumbangkan oleh produk petroleum bertapis, manakala sarung tangan getah adalah penyumbang utama eksport di Selangor dan gas asli cecair pula menjadi penyumbang utama eksport di Sarawak," jelasnya.

 

Menurut beliau, import turut mencatatkan peningkatan sebanyak 23.3% kepada RM987.2 bilion pada 2021 berbanding RM800.5 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan import turut dicatatkan di Selangor (RM49.8 bilion) diikuti Pulau Pinang (RM44.5 bilion) dan Johor (RM39.5 bilion).

 

Sebaliknya, nilai import merosot di Sabah sebanyak RM8.7 bilion dan Labuan (RM908.4 juta).

 

"Import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Kuala Lumpur disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik lain.

 

"Di samping itu, litar elektronik bersepadu menjadi penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah manakala keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama import di Johor," katanya. - DagangNews.com