Malaysia catat lebihan imbangan akaun semasa RM4.3 bilion pada suku pertama - DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat lebihan imbangan akaun semasa RM4.3 bilion pada suku pertama - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia terus mencatatkan lebihan pada nilai RM4.3 bilion atau 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Jumlah itu menurun daripada RM27.5 bilion (5.9% kepada KDNK) pada suku sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan CAB pada suku ini disokong terutamanya oleh eksport bersih barangan.

 

"Akaun barangan mencatatkan eksport bersih RM39.9 bilion pada suku pertama 2023, menyusut sebanyak 30.9% suku ke suku.

 

"Eksport barangan berjumlah RM261.5 bilion, menurun 17.6% berbanding suku akhir 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, eksport utama ialah elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum dan kimia terutamanya ke Singapura, China dan Amerika Syarikat (AS).

 

Pada masa sama katanya, import barangan menurun sebanyak 14.6% suku ke suku kepada RM221.6 bilion. import utama Malaysia ialah barangan perantaraan, modal dan penggunaan terutamanya dari China, Singapura dan Taiwan.

 

 

dosm

 

 

"Akaun perkhidmatan mencatatkan defisit lebih tinggi sebanyak RM12.8 bilion pada suku pertama 2023, berikutan aktiviti perjalanan menunjukkan lebihan lebih rendah dan pembinaan berubah daripada lebihan kepada defisit.

 

"Eksport perkhidmatan bernilai RM41 bilion berbanding RM43.8 bilion pada pada suku sebelumnya. Eksport perjalanan merangkumi perbelanjaan pelawat asing di Malaysia adalah penyumbang utama eksport perkhidmatan mencatatkan nilai tertinggi RM12.3 bilion, peningkatan sederhana sebanyak 0.4% berbanding suku sebelumnya," katanya.

 

Beliau berkata, akaun kewangan merekodkan aliran keluar bersih RM2.4 bilion berbanding RM1.1 bilion pada suku sebelumnya.

 

Ini terutamanya disumbangkan aliran keluar pelaburan portfolio pada RM33.3 bilion dan derivatif kewangan pada RM0.9 bilion.

 

Sementara, pelaburan lain mencatatkan aliran masuk bersih lebih rendah sebanyak RM20.9 bilion berbanding RM36.6 bilion pada suku sebelumnya, manakala pelaburan langsung berubah arah aliran untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM10.9 bilion daripada aliran keluar bersih RM9.3 bilion pada suku akhir tahun lepas.

 

Katanya, pelaburan langsung di luar negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih lebih rendah sebanyak RM1.1 bilion berbanding RM28.5 bilion pada suku sebelumnya.

 

Penyumbang utama aliran keluar adalah daripada sektor perkhidmatan terutamanya dalam elektrik, diikuti sektor pembuatan dan pertanian. Tiga destinasi utama DIA ialah Singapura, AS dan Vietnam.

 

"Aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM12 bilion direkodkan dalam pelaburan langsung asing (FDI) berbanding RM19.2 bilion pada suku sebelumnya.

 

"Perkhidmatan merupakan sektor terbesar dalam FDI terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian serta pembuatan. Sumber utama FDI adalah dari Mauritius, Switzerland dan Hong Kong," katanya.

 

Merujuk pelaburan terkumpul, beliau berkata, pada suku pertama 2023, kedudukan FDI merekodkan RM893.2 bilion manakala DIA sebanyak RM617 bilion.

 

"Kedudukan Pelaburan Antarabangsa (IIP) Malaysia mencatatkan aset bersih sebanyak RM84.5 bilion, manakala rizab antarabangsa Malaysia berjumlah RM509.8 bilion," katanya. - DagangNews.com