Malaysia catat peningkatan positif 68% indikator SDG pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat peningkatan positif 68% indikator SDG pada 2022 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Dis - Malaysia mencatatkan peningkatan positif 68% atau 99 indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi tempoh 2022, meningkat 79% (195 indikator) berbanding 71% (175 indikator) tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Daripada keseluruhan 195 indikator, sebanyak 146 data tersedia bagi tahun 2022. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pihaknya buat julung kalinya pada tahun ini mengorak langkah bagi menghasilkan Laporan Indikator SDG bagi setiap negeri dan Wilayah Persekutuan. 

 

Di samping itu katanya, lima laporan indikator mengikut bidang tumpuan juga diterbitkan iaitu Kemajuan Masyarakat; Kemakmuran; Penjagaan Bumi; Keamanan dan Kerjasama. 

 

"Indikator di peringkat negeri dan daerah yang diterbitkan dapat digunakan oleh pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memantau dan menyusun kerangka pelaksanaan SDG di peringkat negeri dan daerah masing-masing. 

 

"Inisiatif ini bertepatan dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) yang memberi penegasan berkaitan usaha memperluaskan pelaksanaan SDG di peringkat tempatan dan memperkasa kerajaan negeri, PBT dan komuniti setempat," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Daripada aspek kemajuan masyarakat, terdapat 69 indikator bagi mengukur pencapaian bidang tumpuan itu. Sejumlah 31 indikator menunjukkan pencapaian yang positif pada 2022 antaranya nisbah mortaliti ibu bersalin (MMR). 

 

 

dosm

 

 

MMR mengukur prestasi bagi sasaran 3.1 yang menyasarkan untuk mengurangkan nisbah mortaliti ibu bersalin di peringkat global kepada kurang daripada 70 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menjelang 2030. Malaysia mencapai sasaran 3.1 sejak 1979. 

 

MMR bertambah baik daripada 68.2 (2021) kepada 26.0 pada 2022 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. MMR terendah direkodkan bagi Negeri Sembilan (6.3), W.P. Kuala Lumpur (15.1) dan Melaka (15.3).

 

Berdasarkan kemakmuran, sejumlah 53 indikator tersedia bagi mengukur pencapaian matlamat dalam bidang tumpuan itu. Pencapaian yang baik dilaporkan bagi 26 indikator termasuk pertumbuhan tahunan KDNK dan kadar pengangguran. 

 

Kadar pertumbuhan tahunan KDNK sebenar per kapita meningkat dari 2.9% (2021) kepada 8.2% pada 2022 dan kadar pengangguran bertambah baik daripada 4.6% (2021) kepada 3.9% pada 2022. 

 

Merujuk kepada kadar pengangguran mengikut negeri pada 2022, 12 negeri merekodkan kadar pengangguran di bawah paras nasional dan tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran terendah adalah Putrajaya (1.0%), Melaka (1.6%) dan Pahang (2.5%).

 

Melihat kepada aspek penjagaan bumi, terdapat 40 indikator bagi mengukur pencapaian bidang tumpuan, yang mana sejumlah 18 indikator menunjukkan pencapaian yang baik pada 2022 termasuk kadar kitar semula kebangsaan dan kuantiti buangan terjadual. 

 

Kadar kitar semula kebangsaan meningkat kepada 33.2% (2022) berbanding 31.5% pada 2021. Sementara itu, kuantiti buangan terjadual yang dihasilkan industri menurun sebanyak 21.2% kepada 5,915.1 ribu tan metrik pada 2022 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Selangor menyumbang jumlah sisa berjadual tertinggi pada kadar 26.7% diikuti oleh Johor (22.4%) dan Negeri Sembilan (10.6%).

 

Dari segi keamanan, sejumlah 16 indikator telah tersedia bagi mengukur pencapaian matlamat dalam bidang tumpuan, yang mana pencapaian yang baik telah dilaporkan bagi 9 indikator dan antaranya adalah bilangan kes jenayah kekerasan dan orang tahanan yang tidak dijatuhkan hukuman. 

 

Bilangan kes jenayah kekerasan berkurang kepada 8,636 kes (2022) berbanding 9,941 kes pada 2021. Di samping itu, peratus orang tahanan yang tidak dijatuhkan hukuman sebagai sebahagian daripada jumlah keseluruhan banduan menurun kepada 29.5% pada 2022 berbanding 39.3% pada 2021. 

 

Labuan mencatatkan peratus orang tahanan yang tidak dijatuhkan hukuman sebagai sebahagian daripada jumlah keseluruhan banduan terendah iaitu 4.9% diikuti oleh Melaka dan Sarawak (14.2%).

 

Seterusnya dari segi kerjasama, terdapat 17 indikator bagi mengukur pencapaian bidang tumpuan, yang mana ejumlah 15 indikator menunjukkan pencapaian yang bertambah baik pada 2022 termasuk peratusan individu yang menggunakan internet. 

 

Peratusan individu yang menggunakan internet di Malaysia meningkat secara marginal dari 96.8% (2021) kepada 97.4% pada 2022. Tujuh negeri mencatatkan peratusan individu menggunakan internet yang lebih tinggi daripada tahap nasional, iaitu Putrajaya (99.9%), Kuala Lumpur (99.8%), Pulau Pinang (98.7%), Selangor (98.5%), Johor (98.3%), Negeri Sembilan (98.0%) dan Melaka (97.7%). 

 

Penggunaan internet meningkat dengan ketara bagi perkhidmatan berkaitan aktiviti mendapatkan maklumat, komunikasi, sivik dan politik, e-kerajaan, hiburan, e-dagang serta lain-lain perkhidmatan atas talian.

 

Mengikut laporan 2022, sebanyak 53 indikator (21%) yang belum tersedia, ia dikategorikan kepada masih perlu dibangunkan (28 indikator atau 11%), 19 indikator (8%) tidak tersedia dan 6 indikator (2%) tidak relevan kepada Malaysia. 

 

Kesemua 17 matlamat mencapai ketersediaan indikator melebihi 50% dan dua matlamat berjaya mencapai 100% ketersediaan indikator iaitu Matlamat 4: Pendidikan Berkualiti dan Matlamat 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur. 

 

Kementerian/ agensi memainkan peranan penting dalam pengukuran pencapaian SDG negara dengan menyumbang sebanyak 77% indikator berbanding 23% indikator daripada DOSM. 

 

Kerjasama dengan kementerian/ agensi dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan terus diperkukuhkan dalam mengurangkan jurang ketersediaan data sekaligus meningkatkan ketersediaan data granular terutama bagi empat matlamat dengan ketersediaan indikator kurang 70% iaitu Matlamat 10: Mengurangkan Ketidaksamaan (57%); Matlamat 12: Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab (69%); Matlamat 15: Kehidupan di Darat (57%); dan Matlamat 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh (67%). 

 

Penyediaan indikator yang berkualiti adalah signifikan dalam mengukur dan memantau pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sekali gus memastikan pelaksanaan Agenda 2030 tercapai. - DagangNews.com