KUALA LUMPUR 16 Feb. - Malaysia telah menarik sehingga RM345 bilion pelaburan digital setakat ini, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Menerusi pelaburan itu, Malaysia berjaya menyaksikan hampir 185,000 pekerjaan diwujudkan, jelas Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff.
Jelasnya, pada tahun lalu sahaja, pelaburan baharu oleh syarikat teknologi bernlai RM3.98 bilion.
Manakala, pelaburan baharu yang dibawa oleh syarikat perkhidmatan digital mencatatkan jumlah RM2.01 bilion sekali gus menyumbang kepada kira-kira 9,000 pekerjaan baharu.
“Saya bersyukur inisiatif Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kami telah menarik pelbagai rakan kongsi seperti telekomunikasi dan bank-bank untuk bersama-sama menyokong PKS dan usahawan dalam perjalanan digital mereka,” ujarnya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Ujar Rais Hussin, sebanyak 335,834 PKS telah menceburi pasaran e-dagang dan MDEC berhasrat untuk mempergiatkan lagi capaiannya dalam aspek berkenaan.
MDEC dalam masa sama akan terus memberi sokongan penuh menerusi Rangka Tindak Ekonomi Digital, MyDigital.
MyDigital menggariskan pelan tindakan yang jelas dalam transformasi digital negara di mana menyokong pendekatan yang berpusat pada manusia dalam penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, memelihara nilai-nilai manusia dan warisan budaya.
Tambah Rais Hussin, MDEC menumpukan kepada tiga teras strategi iaitu memperkasa rakyat Malaysia yang berkemahiran digital, mempercepat perniagaan dipacu oleh digital dan menarik pelaburan digital.
Setakat ini, MDEC telah menawarkan 3,800 kursus secara percuma dengan 21,000 permohonan yang berjaya.
Program MyDigitalmaker agensi itu telah memanfaatkan kira-kira 1.6 juta murid sekolah di seluruh negara.
Dalam pada itu, Institut Teknologi Digital Premier MDEC telah menghasilkan purata 7,800 graduan dengan purata kadar pengambilan pekerjaan sehingga 95% pada tahun 2018 dan 2019. - DagangNews.com