Malaysia dalam senarai penerima utama vaksin COVID-19 China - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia dalam senarai penerima utama vaksin COVID-19 China - PM

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Malaysia telah disenaraikan sebagai negara yang akan diberi keutamaan vaksin COVID-19 keluaran China yang bakal diedarkan tidak lama lagi. 

 

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian menyampaikan jaminan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam perjumpaan kedua-duanya semalam. 

 

Dalam perjumpaan itu, Tian turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang sentiasa memberi sokongan dalam pelbagai aspek kepada negara itu, khususnya ketika pandemik COVID-19 melanda Wuhan awal tahun ini. 

 

Jelas Muhyiddin, Tian menganggap Malaysia sebagai negara sahabat sangat akrab yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan ketika China berdepan musibah.

 

“Saya telah sampaikan penghargaan Malaysia atas komitmen yang dibuat oleh kerajaan China itu. Saya nyatakan bahawa China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar selama 11 tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan tahun lepas merekodkan sebanyak RM315.19 billion. 

 

“Pada 2019, nilai pelaburan China di Malaysia adalah berjumlah RM18.25 billion, menjadikan negara itu sebagai sumber pelaburan langsung asing ke-10 terbesar di Malaysia.

 

“Saya nyatakan bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan lebih banyak syarikat dari China menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk melabur, terutamanya di sektor industri berteknologi tinggi,” kata Muhyiddin dalam hantaran status di Facebook rasmi miliknya hari ini. 

 

Menurut Muhyiddin, beliau telah telah menerima kunjungan perpisahan daripada Tian yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 27 November ini di pejabatnya di bangunan Parlimen.

 

Beliau telah menyatakan penghargaan kerajaan atas sumbangannya dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan China, yang kini berada pada tahap sangat tinggi sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 1974.

 

“Tian juga menyampaikan ucapan tahniah kerajaan Republik itu atas kejayaan Malaysia menganjurkan sidang APEC pada tahun ini, yang menyaksikan pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur serta pelancaran Visi Putrajaya 2040, yang bakal menjadi aspirasi kepada pertumbuhan komuniti Ekonomi APEC untuk 20 tahun akan datang.

 

“Selamat maju jaya saya ucapkan  kepada TYT Bai Tian yang akan pulang bertugas di Beijing selepas tiga tahun berada di negara ini,” tambah Muhyiddin. - DagangNews.com