Malaysia di landasan tepat capai sasaran pelaburan RM200 bilion - UOB | DagangNews Skip to main content

Malaysia di landasan tepat capai sasaran pelaburan RM200 bilion - UOB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelaburan RM200 bilion untuk tahun ini, selepas mencapai RM123.3 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 1HFY22, kata UOB Global Economics & Markets Research.

 

Sasaran RM200 bilion itu adalah lebih rendah berbanding unjuran UOB iaitu melebihi RM204 bilion.

 

UOB berkata sehingga Ogos 2022, terdapat 276 projek dengan cadangan pelaburan RM25.1 bilion menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

 

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak 198 projek adalah daripada sektor perkhidmatan (RM13.7 bilion) manakala baki 78 projek adalah daripada sektor pembuatan (RM11.4 bilion).

 

"Unjuran kami adalah sekitar paras purata lima tahun pra pandemik sebanyak RM204.5 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pembaharuan dasar Malaysia yang berterusan, proses pendigitalan pantas selain peralihan ke fasa endemik merupakan pemangkin utama untuk pelaburan masa akan datang.

 

"Pelbagai perjanjian termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif yang akan disahkan tidak lama lagi untuk Perkongsian Trans-Pasifik serta lokasi geografi yang strategik akan membantu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini," katanya.

 

Firma itu berkata, Aspirasi Pelaburan Nasional negara dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga akan menarik lebih banyak pelaburan baharu ke dalam sektor hijau dalam tempoh terdekat.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, antara risiko yang dihadapi termasuk kemelesetan global dan keadaan monetari global yang lebih ketat adalah cabaran untuk keseluruhan prospek pelaburan.

 

"Ia merupakan tambahan kepada kebimbangan mengenai kekurangan tenaga kerja, bekalan buruh mahir domestik dan ketidaktentuan dasar.

 

"Insentif pelaburan selanjutnya, terutama bagi memulihkan pelaburan swasta domestik, mungkin diumumkan dalam bajet akan datang yang akan dibentangkan pada 7 Oktober 2022," katanya. - DagangNews.com