Malaysia disaran tubuhkan The Untouchables lawan super kartel jenayah | DagangNews Skip to main content

Malaysia disaran tubuhkan The Untouchables lawan super kartel jenayah

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 April – Kerajaan disaran menubuhkan satu pasukan elit yang menjunjung nilai-nilai integriti, keberanian dan ketinggian moral yang amat penting bagi memerangi super kartel penyeludupan rokok, kata bekas Ketua Polis Sarawak, Datuk Dr. Yusoff Nook.

  

Dalam satu kenyataan di sini, saranan Yusoff itu adalah susulan laporan mengenai empat pegawai Jabatan Kastam DiRaja Malaysia didakwa di mahkamah atas tuduhan melepaskan dua kontena mengandungi rokok seludup yang dirampas.

 

Yusoff merupakan bekas Ketua Polis Sarawak yang kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Keselamatan negeri tersebut selepas persaraannya.

 

pdrm
                        Yusoff Nook

 

“Ini adalah kes yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang membuktikan betapa mendalamnya penyusupan jenayah di dalam agensi penguatkuasaa undang-undang kita yang telah melonjakkan Malaysia menjadi negara No.1 pengedar rokok seludup di dunia," kata beliau.

 

"Masalah endemik ini bukan sahaja boleh diatasi jika kita memiliki pasukan elit seperti The Untouchables mengetuai Pasukan Petugas Pelbagai Agenci (MATF), yang telah digerakkan bagi menangani permasalahan perdagangan rokok seludup,” kata beliau, merujuk kepada filem klasik The Untouchables terbitan 1987 lakonan Kevin Costner dan Sean Connery.

 

Yusoff yang pernah menjadi Ketua Perisikan Ekonomi Cawangan Khas PDRM mengesahkan bahawa perniagaan rokok seludup pada masa kini dibantu oleh super kartel membabitkan orang berkedudukan tinggi dari sektor awam dan swasta.

 

“Malaysia kerugian RM5 bilion setiap tahun dari segi hasil cukai yang tidak dikutip akibat jenayah ekonomi ini. Jika masalah ini dapat ditangani awal dulu, Kerajaan tidak perlu menggunakan jumlah wang sebegitu besar dari Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membiaya program vaksinasi kita,” ujar beliau.

 

Untuk membolehkan penubuhan The Untouchables Malaysia, Yusoff mencadangkan adalah penting untuk melantik pegawai di dalam MATF daripada kalangan individu yang mempunyai perwatakan betul, rekod perkhidmatan dan set kemahiran yang diperlukan.

 

“Individu seperti Ketua Polis Negara sekarang, Tan Sri Abdul Hamid Bador, atau pegawainya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay iaitu Ketua Polis Johor, adalah contoh utama mereka yang berani menentang arus dan berani melakukan apa yang diperlukan demi kedaulatan negara kita,” kata Yusoff.

 

“Pasukan The Untouchables kita di dalam MATF tidak boleh beroperasi di luar atas undang-undang tetapi boleh melaksanakan tanggungjawab mereka menggunakan pendekatan di luar kotak, mengguna pakai teknologi canggih dan teknik yang ada di dalam pasukan penguatkuasaan moden hari ini.

 

"Pendekatan ini akan membolehkan MATF mencapai kejayaan besar lebih daripada apa yang ada sehingga kini, untuk menutup perdagangan rokok seludup sehabis-habisnya,” ujar beliau.

 

The Untouchables adalah filem Amerika Syarikat diterbitkan pada 1987 yang diarahkan oleh Brian De Palma dengan Art Linson sebagai produser.

 

Filem ini dibintangi Kevin Costner, Charles Martin Smith, Andy García, Robert De Niro, dan Sean Connery, yang menyelusuri watak Eliot Ness (lakonan Costner) yang membentuk pasukan The Untouchables untuk mengheret Al Capone (lakonan De Niro) ke muka pengadilan semasa era Prohibition atau Larangan Meminum dan Menjual Arak di Amerika Syarikat. - DagangNews.com