Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 April - Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia pada minggu lalu, berakhir 2 April 2021 dengan nilai aliran keluar mencecah -RM173.24 juta.
Menurut MIDF Research, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing telah membeli bersih +RM89.8 juta ekuiti tempatan.
Pelabur runcit dan institusi tempatan, masing-masing pula merupakan pembeli dan penjual bersih dengan nilai +RM30.30 juta serta -RM120.10 juta, tambah MIDF.
“Pelabur asing merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Rabu. Namun, aliran masuk tidak mampu menampung aliran keluar pada pertengahan minggu lalu.
“Aliran masuk asing terbesar dicatatkan pada Isnin dan aliran masuk terendah pada Khamis, +RM7.03 juta.
“Satu-satunya aliran keluar dicatatkan pada Rabu, bernilai -RM337.59 juta,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini.
Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih pada separuh minggu pertama, dan beralih kepada penjual bersih pula.
Kata MIDF, pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada Rabu, bernilai +RM224.59 juta dan penjualan bersih terbesar direkodkan pada Jumaat, -RM33.01 juta.
Secara terkumpul bagi minggu lalu, pelabur runcit membeli bersih +RM331.98 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia, jelas MIDF.
Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula mencatatkan aliran keluar terkumpul mingguan bernilai -RM158.76 juta.
Ujar MIDF, pembelian bersih terbesar dicatatkan pada Rabu, bernilai +RM113.0 juta, manakala nilai terendah pada Khamis, +RM1.78 juta.
“Penjualan bersih terbesar berlaku pada Selasa, -RM147.60 juta,” kata MIDF lagi.
Sejak permulaan 2021, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih di pasaran ekuiti Malaysia dengan nilai aliran masuk RM5.32 bilion.
Pelabur institusi dan asing pula merupakan penjual bersih, masing-masing bernilai -RM3.63 bilion dan -RM1.69 bilion, tambah MIDF.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan asing mencatatkan penurunan purata nilai dagangan harian (ADTV) yang menyusut berbanding minggu sebelumnya, masing-masing jatuh -4.49%, -0.32% dan -18.78%.
Bagi tempoh sama, Public Bank Berhad, AMMB Holdings Berhad dan Bursa Malaysia Berhad menyaksikan aliran masuk tertinggi, masing-masing bernilai RM6.90 juta, RM2.52 juta dan RM2.37 juta.
Kossan Rubber Industries Berhad, Press Metal Aluminium Holdings Berhad dan Sime Darby Berhad sebaliknya mencatatkan aliran keluar tertinggi, masing-masing bernilai -RM4.20 juta, -RM3.73 juta dan -RM2.58 juta.
Di peringkat serantau, hanya Thailand yang menyaksikan aliran masuk bersih asing, +AS$102.10 juta, manakala Indonesia, Filipina dan Malaysia masing-masing mencatatkan aliran keluar bersih iaitu -AS$178.73 juta, -AS$44.33 juta dan -AS$41.77 juta. - DagangNews.com