Malaysia, Indonesia perlu elak polemik isu Bahasa Melayu - ABIM | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Indonesia perlu elak polemik isu Bahasa Melayu - ABIM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta pada 1 April 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara perlu disambut baik semua pihak.

 

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia sejajar dengan fungsi Bahasa Melayu sebagai pengantar utama ketika alam Melayu menjadi pusat peradaban kosmopolitan yang memimpin dinamika rantau Asia Tenggara.

 

"ABIM merujuk kenyataan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim mengenai usul yang diketengahkan Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama ASEAN.

 

"Kami menegaskan bahawa usul dan usaha Perdana Menteri untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua organisasi tersebut, perlu disambut baik dengan mencari kesepakatan untuk sama-sama menempatkan lingua ini pada peranan yang strategik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, media melaporkan Nadiem menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

 

Beliau mendakwa Bahasa Indonesia pilihan lebih baik untuk digunakan sebagai bahasa utama bagi ASEAN kerana ia paling banyak digunakan di Asia Tenggara, dengan penggunaannya tersebar di lebih 47 negara.

 

Dalam pada itu Muhammad Faisal menegaskan, dalam persuratan Indonesia sebelum merdeka, bahasa yang digunakan adalah 'bahasa Melajoe' (Bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda).

 

 

abim
Muhammad Faisal Abdul Aziz

 

 

"Namun, selepas Sumpah Pemuda bertarikh 28 Oktober 1928, maka digunakan nama Bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai, 'Bertanah air yang satu - negara Indonesia, berbangsa yang satu - bangsa Indonesia, berbahasa yang satu - Bahasa Indonesia". 

 

"Kenyataan ini juga bersandarkan kepada keputusan nombor 8 Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan, (28 Oktober - 2 November 1954) yang mengatakan bahwa, asal Bahasa Indonesia ialah Bahasa Melayu, dasar Bahasa Indonesia ialah Bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang," katanya.

 

Beliau berkata, penggunaan istilah Bahasa Melayu juga sifatnya meluas merentas negara, iaitu digunakan oleh mana-mana rumpun Melayu di rantau di dunia ini.

 

"Justeru, ABIM menegaskan isu bahasa Melayu seharusnya menjadi medan yang menyatukan warga Alam Melayu," katanya.

 

Katanya, bagi mengelakkan polemik serta pertelagahan istilah yang merugikan, ia boleh diselesaikan dengan penggunaan istilah yang boleh menyatu seperti 'Bahasa Melayu-Nusantara'.

 

"Di sini pentingnya untuk kita bersama mengangkat semula Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang merupakan sebuah badan kebahasaan serantau yang ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu yang merupakan khazanah kosmopolitan rantau Nusantara," katanya. - DagangNews.com