Malaysia ke arah 10 tangga teratas dalam Indeks Daya Saing Digital Global | DagangNews Skip to main content

Malaysia ke arah 10 tangga teratas dalam Indeks Daya Saing Digital Global

KUALA LUMPUR 21 Feb - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yakin Malaysia mampu mencapai peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.3% sekiranya penambahbaikan kepada peraturan berkaitan perniagaan dilaksanakan.

 

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, inisiatif yang diperkenalkan secara digital itu tidak hanya memperkukuhkan persekitaran perniagaan melalui penyampaian peraturan berkualiti malah turut membantu melonjakkan prestasi Malaysia di tangga 10 teratas di dalam Indeks Daya Saing Digital Global.

 

Katanya, kedudukan negara dalam infrastruktur teknologi menunjukkan trend menurun ke tangga 20 pada 2021 berbanding 2020 dan 2019.

 

“Seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), terdapat perbezaan dasar dan peraturan berkaitan dengan penyediaan infrastruktur digital di setiap negeri. 

 

"Salah satu usaha untuk menambahbaik kedudukan petunjuk ini adalah mempercepatkan pembinaan infrastruktur digital melalui perlaksanaan sesi libat urus secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman industri mengenai usaha kerajaan dalam menambahbaik persekitaran perniagaan, terutama berkaitan dengan pembinaan infrastruktur digital di tepi lebuh raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Abdul Latif Abu Seman
Abdul Latif Abu Seman

 

 

Menurut beliau, kerjasama kementerian dan agensi berkaitan juga perlu dipertingkatkan bagi pengharmonian data infrastruktur yang penting dalam merangka intervensi bersesuaian untuk mengatasi isu pembinaan infrastruktur digital. 

 

"Inisiatif ini diharap dapat memperbaiki kedudukan negara ke-10 teratas dalam infrastruktur digital menjelang 2025,” tambahnya.

 

Inisiatif berkenaan telah dibentangkan didalam Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

MPC memberi tumpuan kepada pengurusan perubahan yang diterajui bersama MyDigital Corporation dengan kerjasama PEMUDAH, Nexus Produktiviti, Kementerian dan Agensi bagi menyokong daya saing digital negara.

 

Menurut Abdul Latif, teknologi dan digitalisasi merupakan faktor penting kepada pertumbuhan produktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

 

“MPC turut menjalankan deep-dive ke atas petunjuk daya saing bagi mengenalpasti isu spesifik yang menjadi cabaran kepada daya saing negara bagi pelaksanaan penambahbaikan. 

 

"Proses penambahbaikan ini dilaksanakan secara bersama antara sektor awam dan swasta melalui pendekatan collaborative innovation,” katanya.

 

Beliau menambah, ujikaji peraturan akan dijalankan bagi meningkatkan prestasi Malaysia menerusi Indeks Daya Saing Digital Global. - DagangNews.com