KUALA LUMPUR 15 Sept - Dakwaan buruh paksa yang dihadapi beberapa syarikat Malaysia dilihat semakin memburukkan lagi situasi kekurangan buruh asing di negara ini.
Sebelum ini, Reuters melaporkan Malaysia mengalami kekurangan 1.3 juta pekerja asing dengan situasi lebih buruk bagi sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan.
Setakat akhir Ogos, dilaporkan bahawa kelulusan untuk pengambilan pekerja asing berjumlah 390,000, tetapi hanya 47,000 pekerja yang tiba ke negara ini.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, jumlah itu adalah kecil berbanding kekurangan yang dialami negara ketika ini dan jika mengambil kira keseluruhan kuota yang diluluskan, ia hanya menyelesaikan 30.1% daripada masalah buruh.
Namun, katanya, keadaan sepatutnya terus menyaksikan penangguhan secara beransur-ansur kerana Indonesia telah menarik balik pembekuannya manakala Bangladesh bersetuju untuk menghantar 500,000 pekerja dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Hakikatnya, dalam usaha menangani masalah ini, ia membuktikan tugas yang sukar. Tambahan pula, sejak pandemik COVID-19, terdapat beberapa dakwaan mengenai penggunaan buruh paksa membabitkan syarikat Malaysia.
"Persepsi ini dilihat mungkin menghalang pengambilan pekerja asing ke negara ini. Malangnya dan secara tidak adil, sisi lain jarang dilaporkan oleh media antarabangsa dengan tahap dan kedalaman yang sama bahawa Malaysia secara proaktif mengambil langkah-langkah membetulkan keadaan," katanya dalam laporan tematik mengenai pekerja asing yang dikeluarkan hari ini.
Ketika ini Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) telah menyenaraikan enam perintah tahan pelepasan (WRO) yang aktif dan satu penemuan di Malaysia, manakala laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2022 meletakkan Malaysia di tahap ketiga (peringkat paling rendah).
Tahap ketiga itu merujuk kepada kerajaan yang tidak mematuhi piawaian minimum sepenuhnya dan tidak melakukan usaha yang ketara.
Selain CBP AS, negara juga berdepan dakwaan penggunaan buruh paksa membabitkan syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dengan penamatan kontrak oleh Dyson pada November 2021 dan juga sekatan kerajaan Kanada terhadap salah satu produk sarung tangan getah dari Malaysia.
Bagaimanapun, menurut HLIB, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bagi menangani situasi tersebut, terutamanya memperkenalkan/meminda beberapa undang-undang – Akta 446 (standard minimum penginapan), Akta A1664 (pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran) dan Akta Pekerjaan 1955.
Pada masa sama, kerajaan juga melancarkan aplikasi mudah alih Working-For-Workers (WFW) pada Mei 2021 bagi membolehkan pekerja menyalurkan aduan tanpa rasa bimbang.
Antara tindakan lain yang turut dilaksanakan termasuklah melancarkan Pelan Tindakan Menangani Buruh Paksa 2021-2025 bagi menghapuskan amalan buruh paksa menjelang 2030, raktifikasi Protokol 29 Organisasi Buruh Antarabangsa dan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500.
Pada masa sama, HLIB juga mendapati masalah kekurangan buruh ini akan terus meningkatkan kos buruh dan memberi kesan kepada syarikat tempatan.
Berdasarkan beberapa syarikat kontraktor yang ditemuinya ketika musim laporan kewangan suku kedua, didapati upah harian bagi pekerja am di tapak pembinaan telah meningkat lebih 30% secara purata berbanding setahun lagi, malah ada juga yang mengalami peningkatan sehingga melebihi 50%.
Selain kekurangan tenaga kerja, kos juga dijangka meningkat daripada kos pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih tinggi (contohnya, memastikan penginapan yang disediakan memenuhi piawaian dalam Akta 446).
"Walaupun, ia mungkin menghakis keuntungan syarikat, tetapi kami menganggap ia adalah langkah yang perlu ke arah meningkatkan kebajikan pekerja asing dan akhirnya, mengurangkan risiko yang dikaitkan dengan amalan buruh yang lemah (contohnya penahanan/rampasan barangan, penamatan kontrak dan menjejaskan reputasi).
"Kami percaya situasi kekurangan pekerja ketika ini, di samping tekanan kos buruh, akhirnya akan memaksa perniagaan untuk meneroka kaedah operasi lain yang kurang bergantung kepada buruh," jelasnya.
Antaranya, termasuklah mempertimbangkan penggunaan sistem bangunan perindustrian (IBS) dan menggunapakai lebih banyak automasi dalam pembuatan. - DagangNews.com