KUALA LUMPUR 20 Okt - Lebih banyak kerjasama pertahanan terutamanya dalam bidang industri akan diteroka antara Malaysia dan Korea Selatan sekali gus meningkatkan hubungan sedia ada.
Justeru, kunjungan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah untuk membincangkan hala tuju pemerkasaan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Beliau berada di negara itu selama dua hari atas jemputan bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-Sup.
Mohamad juga turut bertemu dengan menteri pertahanan republik itu yang baharu dilantik iaitu Shin Won Sik.
Menerusi pertemuan itu, kedua-dua rakan sejawat memberikan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada dan meneroka kerjasama baharu.
Ini termasuk aspek kerjasama ketenteraan serta industri pertahanan.
Mereka turut membincangkan peranan Malaysia dan Korea Selatan selaku Pengerusi Bersama dalam bidang Keselamatan Siber bagi Kumpulan Kerja Pakar Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).
Selain itu, Mohamad turut menghadiri Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2023 dan Pameran Pertahanan dan Aeroangkasa Seoul (ADEX) 2023 yang sedang berlangsung.
Penyertaan delegasi Malaysia ke SDD 2023 dan ADEX 2023 adalah bagi menzahirkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama pertahanan bersama Korea Selatan.
Tahun lalu, Kuala Lumpur dan Seoul telah memeterai memorandum persefahaman berhubung kerjasama dalam bidang pertahanan.
Lanjutan daripada itu juga, MINDEF memuktamadkan perolehan 18 pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) apabila memilih FA-50 Block 20 Fighting Eagle untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Perolehan bernilai RM4.08 bilion ini menjadikan TUDM pengguna kedua selepas Poland bakal mengoperasikan pesawat FA-50 Block 20 versi terkini FA-50 dengan keupayaan tempur.
Varian terkini FA-50 juga berkeupayaan untuk membawa bom berpandu tepat dan lain-lain senjata canggih.
Korea Aerospace Industries (KAI) dijangka menghantar secara berperingkat pesawat itu ke Malaysia bermula pada Oktober 2026.
Republik itu juga turut mengintai peluang dengan menawarkan lain-lain kelengkapan pertahanan untuk Malaysia termasuklah bersaing dalam program kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia.- DagangNews.com