KUALA LUMPUR 15 Nov - Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengganas yang menyasarkan orang awam yang tidak bersalah di Istiklal Street, Taksim, Istanbul pada 13 November 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata, Malaysia sentiasa berdiri teguh bersama Republik Turkiye dalam usaha untuk membendung sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan negara dan keselamatan awam.
"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan takziah atas insiden letupan yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan.
"Semoga Allah S.W.T melindungi dan memelihara Republik Turkiye dan rakyatnya dari segala ancaman yang akan menjejaskan keamanan dan kestabilan dalam negara," katanya.
Terdahulu, insiden letupan di Istanbul itu membunuh enam orang dan mencederakan 81 yang lain, lapor Agensi Anadolu (AA). - DagangNews.com