Malaysia 'lebih sopan' di alam maya - Microsoft | DagangNews Skip to main content

Malaysia 'lebih sopan' di alam maya - Microsoft

Malaysia 'lebih sopan' di alam maya - Microsoft

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Malaysia mencatatkan prestasi yang lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau Asia Pasifik (APAC) berhubung aspek kesopanan dalam talian sepanjang 2020.

 

Prestasi tersebut dicapai hasil tinjauan yang melibatkan 500 rakyat Malaysia berkaitan 21 risiko dalam talian, meliputi empat kategori iaitu tingkah laku, seksual, reputasi, dan peribadi/gangguan. 

 

Hasil tinjauan tersebut mendapati Malaysia mencatatkan 63 mata Indeks Kesopanan Digital (DCI) pada 2020 berbanding 66 mata bagi APAC.

 

Bagaimanapun, mata DCI Malaysia yang dicatatkan pada 2020 itu merosot berbanding 59 mata yang dicatatkan pada 2019 (lebih rendah lebih baik).

 

Keadaan tersebut menunjukkan bahawa lebih ramai masyrakat mengalami interaksi negatif atau menghadapi risiko di dalam talian.

 

.

 

Ketua Keselamatan Digital Serantau, Asia-Pasifik Microsoft, Liz Thomas berkata, tinjau selidik tahunan Microsoft mengenai kesopanan digital penting dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan interaksi positif dalam talian, lebih-lebih lagi pada masa-masa sukar ini. 

 

"Walaupun rakyat Malaysia kini lebih bergantung dan sedia menerima pakai teknologi digital berbanding masa lepas dalam suasana COVID-19 dan norma penjarakan sosial, kita semua mesti bersatu hati untuk mewujudkan internet yang lebih selamat yang menyediakan pengalaman lebih baik dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kita.

 

"'Hari Internet Lebih Selamat' yang telah diraikan awal bulan ini mengingatkan kita bahawa kerajaan, organisasi dan individu memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan Internet tempat yang lebih baik untuk semua sama ada untuk bekerja atau berhibur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Risiko bagi pengguna dalam talian Malaysia yang mencatatkan paras tertinggi adalah seperti berikut;

  • Kenyataan berbaur kebencian; meningkat 3% kepada 24%
  • Pemalsuan, penipuan dan ‘scam’ (memperdaya); yang meningkat 4% kepada 24%
  • Diskriminasi; meningkat 2% kepada 14%. 

 

 

Remaja (berumur 13-16 tahun) di Malaysia  memainkan peranan sebagai pendorong tingkah laku positif dalam DCI, dan mencatatkan 57 mata bagi kesopanan dalam talian, berbanding orang dewasa yang mencatatkan 68 mata. 

 

Sebanyak 37% responden di Malaysia memberitahu, kesopanan dalam talian bertambah baik semasa pandemik disebabkan sentimen keprihatinan yang mendorong orang ramai saling membantu dan memberi semangat kepada satu sama lain.

 

Bagaimanapun, 17% menyatakan kesopanan dalam talian bertambah teruk akibat penularan maklumat yang palsu dan mengelirukan dan lebih banyak serangan peribadi dan komen negatif.

 

Menyentuh tinjauan tahun 2021, antara harapan paling besar rakyat Malaysia pada dekad akan datang ialah untuk lebih menghormati satu sama lain (74%), meningkatkan keselamatan (66%), kesejahteraan (35%), kesopanan (31%) dan budi baik (26%). 

 

"Kami berbesar hati untuk melihat generasi masa depan kita menerajui usaha negara ke arah interaksi positif di dalam talian, dan menyaksikan warga digital bersatu padu dan menambah baik komuniti dalam talian semasa pandemik.

 

"Microsoft menyeru rakyat Malaysia untuk bertindak secara positif dan membina dunia maya yang mendorong setiap insan dan organisasi untuk mencapai mercu jaya lebih tinggi," tambahnya lagi.

 

Dalam usaha untuk membina internet yang lebih baik dan selamat, Microsoft juga menganjurkan Cabaran Kesopanan Digital, yang menggariskan empat prinsip yang boleh diamalkan sekarang oleh pengguna dalam talian.

 

 

  1. Mematuhi “amalan terbaik” – Bertindak dengan cara yang saling memahami, penuh kasih sayang dan berbudi bahasa dalam setiap interaksi, dan melayan semua orang secara terhormat dan bermaruah 
  2. Menghormati perbezaan – Menghargai perbezaan budaya dan menerima perspektif berbeza, berinteraksi secara sopan-santun dan mengelakkan ejekan dan serangan peribadi 
  3. Berhenti sejenak sebelum membalas – berhenti dan berfikir sebentar sebelum membalas hantaran dan tidak menghantar atau mencatat sesuatu yang boleh menyinggung perasaan atau memburukkan nama orang lain serta mengancam keselamatan 
  4. Berdiri teguh untuk diri sendiri dan orang lain – Memberitahu orang lain jika anda rasa tidak selamat, memberikan sokongan kepada mereka yang menjadi sasaran penderaan atau kezaliman dalam talian, dan melaporkan aktiviti yang mengancam keselamatan.- DagangNews.com