SERDANG 17 Mei - Potensi madu lebah daripada spesis kelulut (meliponine) adalah sangat besar di Malaysia, yang berpotensi untuk menghasilkan dan memelihara lebah secara komersial kerana negara ini mempunyai sumber makanan atau manisan yang mencukupi bagi lebah.
Pensyarah Kanan Jabatan Perlindungan Tumbuhan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syari Jamian berkata, dengan meningkatkan penternakan lebah, bilangan pokok yang ditanam semakin meningkat, hasil pertanian bertambah dan kualiti udara juga menjadi bersih.
“Dunia mengetahui bahawa lebah merupakan ejen penting untuk proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan. Pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem lebah amat penting bagi mengimbangi alam sekitar.
"Tanpa lebah, tanaman tidak dapat menghasilkan buah-buahan yang kita nikmati pada masa kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan semua pihak dalam melestarikan penternakan dan menjadikan madu lebah sebagai makanan yang lestari.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) UPM, Dr. Norhasnida Zawawi pula berkata, tahap kesedaran penduduk Malaysia tentang penternakan lebah yang lestari dalam menghasilkan madu lebah masih rendah.
Beliau berkata, masih banyak pokok di kawasan hutan yang ditebang dalam usaha mendapatkan sarang lebah untuk penternakan.
“Ini kerana kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara tropika yang sangat kondusif secara semula jadi bagi penternakan lebah terutamanya lebah daripada spesis kelulut tidak harus disia-siakan.
“Secara keseluruhannya banyak manfaat dari segi peningkatan ekonomi rakyat dan negara melalui persekitaran yang bersih, peningkatan hasil tanaman dan penternakan serta taraf kesihatan rakyat yang lebih baik boleh diperolehi.
"Ini termasuk dengan perancangan serta pengurusan yang baik tanpa mengira kefahaman politik, bangsa atau perbezaan lain antara semua pihak yang terlibat,” katanya.
Menurut Dr. Nohasnida, penggunaan racun yang keterlaluan dalam aktiviti pertanian secara umumnya juga masih berleluasa yang memberikan kesan terhadap pembiakan dan penghasilan madu dalam industri lebah.
Tambahnya, sekiranya dilakukan dengan betul, tidak mustahil Malaysia akan menerajui dunia dalam usaha ini dan menjadi ikutan serta panduan bagi negara lain kelak. - DagangNews.com