KUALA LUMPUR 6 Jan - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) memperluaskan inisiatif geran produktiviti kepada sektor peruncitan, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, pembinaan, serta logistik bagi memupuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di pelbagai industri.
Peluasan itu dibuat bagi memastikan sektor-sektor yang sebelum ini kurang diberi perhatian, dapat memanfaatkan inisiatif berkenaan.
Pengarah Urusan MPC, Zahid Ismail berkata, pendekatan tersebut dibuat bagi menyediakan sumber kewangan kepada syarikat-syarikat dari pelbagai industri untuk berinovasi dan berkembang.
"R&D berfungsi sebagai pemangkin untuk inovasi, membolehkan syarikat terus berada di hadapan dalam pasaran yang berkembang pesat ini.
"Dengan memupuk budaya pembangunan berasaskan penyelidikan, kami mahu memperkukuhkan daya saing global Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Antara tahun 2010 hingga 2020, landskap pembiayaan R&D Malaysia menyaksikan perubahan ketara.
Sumbangan dari perusahaan perniagaan merosot dari 64.5 peratus kepada 34.2 peratus, walaupun R&D boleh meningkatkan kecekapan sehingga 30 peratus.
Geran produktiviti itu direka untuk membalikkan trend berkenaan dengan menyediakan sumber yang diperlukan bagi membantu perniagaan berdaya cipta, memperkemas operasi dan membuka potensi penuh mereka.
Inisiatif tersebut menyokong syarikat-syarikat dalam memajukan usaha penyelidikan, pembangunan, usaha komersial dan daya cipta inovasi, membolehkan perusahaan membangunkan rumusan inovatif yang menyelesaikan cabaran operasi, merebut peluang pertumbuhan dan menjadi peneraju dalam sektor masing-masing.
Bagi tahun 2025, geran produktiviti mengutamakan inisiatif yang menyepadukan peralihan digital dan kelestarian, memastikan penerima geran bersedia untuk menghadapi cabaran baru dan memanfaatkan trend global.
Pemohon yang berjaya akan mendapat manfaat daripada pelbagai perkhidmatan sokongan, termasuk bengkel yang dikendalikan oleh MPC mengenai strategi penambahbaikan produktiviti, peluang rangkaian dengan pemimpin industri dan pakar, serta perkhidmatan nasihat bagi menjamin hasil yang memberi impak.
Permohonan geran itu dibuka dari 6 Januari 2025 hingga 7 Februari 2025. - DagangNews.com