Malaysia masih bergantung import ternakan penuhi keperluan domestik | DagangNews Skip to main content

Malaysia masih bergantung import ternakan penuhi keperluan domestik

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kadar kebergantungan import (IDR) ternakan Malaysia yang tinggi pada tahun 2019 menunjukkan negara masih bergantung kepada negara luar untuk memenuhi keperluan domestik. 

 

Bagi tahun lalu, IDR ternakan tertinggi dicatatkan pada import daging kambing atau bebiri sehingga 87.9%, manakala dagang lembu atau kerbau merangkumi 76.6%. 

 

IDR bagi tanaman pula menyaksikan Malaysia banyak mengimport halia (84.3%), cili (73.6%) dan mangga (73.5%).

 

“Walaupun IDR kepada import bahan makanan adalah tinggi, imbangan perdagangan bagi sektor ini menunjukkan peningkatan iaitu daripada 4.1% (RM21.1 bilion) pada 2018 kepada RM22.0 bilion pada 2019,” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam sebuah kenyataan berhubung siaran Indikator Pertanian Terpilih Malaysia 2020.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini mengeluarkan siaran berkenaan yang menyaksikan sektor pertanian menyumbang sebanyak RM101.5 bilion atau 7.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019. 

 

Kelapa sawit merupakan penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian sebanyak 37.7% diikuti pertanian lain (25.9%), ternakan (15.3%), perikanan (12.0%), perhutanan dan pembalakan (6.3%) dan getah (3.0%).

 

Eksport sektor pertanian pada 2019 bernilai RM115.5 bilion berbanding RM114.5 bilion pada 2018, meningkat 0.9%.

 

Jumlah import pula mencatatkan nilai RM93.5 bilion berbanding 2018 iaitu RM93.3 bilion dengan peningkatan sebanyak 0.2%.

 

Imbangan perdagangan sektor itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1% daripada RM21.1 bilion pada 2018 kepada RM22.0 bilion pada 2019.

 

Pengeluaran tanaman komoditi utama iaitu kelapa sawit (buah tandan segar) dan getah asli masing-masing meningkat sebanyak 646.0 ribu tan metrik (0.7%) dan 36.5 ribu tan metrik (6.1%) pada 2019 berbanding tahun sebelumnya. 

 

Sebaliknya, pengeluaran padi menurun 11.0% daripada 2,639.2 ribu tan metrik kepada 2,348.9 ribu tan metrik bagi tempoh yang sama.

 

Dalam pada itu, bilangan ternakan itik meningkat 7.6% kepada 10.4 juta ekor pada 2019 diikuti ayam (5.8%) dan kambing (3.5%), manakala, bilangan ternakan babi dan bebiri masing-masing menurun 0.8% dan 0.4%.

 

Jumlah pendaratan ikan laut pada 2019 ialah 1,455.4 ribu tan metrik, meningkat 0.2% berbanding 1,452.9 ribu tan metrik pada 2018. 

 

Pengeluaran akuakultur air payau atau masin dan air tawar masing-masing turut menunjukkan peningkatan sebanyak 17.0 ribu tan metrik (5.9%) dan 3.3 ribu tan metrik (3.3%).

 

Selain itu, penduduk bekerja yang direkodkan di sektor pertanian pada 2019 ialah 1,541.1 ribu orang dan didominasi oleh lelaki iaitu 79.2%(1,220.9 ribu orang).

 

“Walaupun peratusan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK tidak begitu tinggi, sektor ini penting selaras dengan komitmen kerajaan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi,” tambah Mohd. Uzir. - DagangNews.com