Malaysia menentang amalan buruh paksa - KPPK | DagangNews Skip to main content

Malaysia menentang amalan buruh paksa - KPPK

 

 

KUALA LUMPUR 2 April - Kerajaan memberi keutamaan kepada amalan buruh yang baik di semua sektor agrokomoditi sekali gus menunjukkan pendirian tegas Malaysia menentang amalan buruh paksa.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia sememangnya mendukung amalan berkenaan demi kebajikan semua pihak menerusi pemerkasaan setiap undang-undang melibatkan pekerja.

 

Katanya, komitmen negara terbukti melalui Kajian Mengenai Situasi Buruh di Sektor Perladangan yang siap tahun lalu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perangkaan dan wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selama 2 tahun bermula pada 2018.

 

"Dalam hal ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) dengan kerjasama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan Kementerian Sumber Manusia serta agensi berkaitan sentiasa mengawasi, memantau dan mengingatkan pihak industri untuk mengambil berat kebajikan pekerja dalam sektor ini dan mematuhi undang-undang demi kesejahteraan bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ini susulan daripada tindakan terkini Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan mengeluarkan arahan larangan import terhadap semua sarung tangan pakai buang dari kilang Top Glove di Malaysia.

 

Dakwaan yang dibangkitkan oleh CBP itu adalah rentetan dakwaan sebelumnya yang telah dan sedang diambil tindakan penyelesaian oleh Top Glove. 

 

Menurut beliau, KPPK dimaklumkan pelbagai langkah dan tindakan telah diambil oleh pengurusan Top Glove untuk memastikan syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu mematuhi segala peraturan ILO berkaitan
penyalahgunaan tenaga kerja.

 

Antaranya, termasuklah mengemukakan laporan yang disediakan oleh perunding antarabangsa dari United Kingdom iaitu Impactt Limited (Impactt) kepada CBP pada 16 Mac 2021 untuk dinilai. 

 

"Di samping itu, syarikat telah mengambil semua langkah yang diperlukan oleh pihak berkuasa AS untuk memastikan semua masalah dapat ditangani dengan segera," tambahnya.

 

Sebelum itu, Impactt menerusi kenyataan pada 9 Mac lalu mengesahkan, bahawa tidak ada buruh paksa secara bersistem dalam operasi syarikat Top Glove berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.

 

Malah, Mohd. Khairuddin berkata, KPPK turut dimaklumkan pada tahun lalu, syarikat berkenaan membelanjakan RM136 juta bagi mengurangkan bebanan hutang pekerja migran yang dikenakan oleh agensi pekerjaan. 

 

Langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar zero cost recruitment dan social compliance audit yang dilaksanakan oleh syarikat sejak 2019. - DagangNews.com