Malaysia mengorak langkah dominasi e-dagang Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Malaysia mengorak langkah dominasi e-dagang Asia Tenggara

Oleh SURINA SHUKRI
Ketua Pegawai Eksekutif
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

 

 

SEKIRANYA dalam masa terdekat akan berlangsung satu kejohanan bola sepak yang melibatkan negara- negara di rantau ini, peserta-pesertanya yang terdiri daripada Malaysia, Singapura dan Indonesia kini sedang sibuk membuat persiapan rapi supaya dapat mara sejauh mungkin dan seterusnya memenangi pertandingan ini. 

 

Bagaimanapun, pertandingan yang dimaksudkan bukanlah melibatkan sukan nombor satu di muka bumi sebaliknya merujuk kepada persaingan sengit untuk muncul sebagai pasaran e-dagang paling dominan di rantau ini.

 

Sebenarnya, bukan hanya tiga negara yang disebutkan sahaja yang ingin menjadi ‘raja e-dagang’ di rantau ini kerana ekonomi Thailand, Filipina dan Vietnam juga telah memberi tumpuan terhadap sektor ini dengan mengambil kira populasi penduduk yang melebihi 600 juta di ASEAN. Satu pasaran yang cukup besar untuk dimanfaatkan.

 

Baru-baru ini, agensi berita antarabangsa, Bloomberg melaporkan Google dan Temasek bersetuju untuk membuat pelaburan mencecah RM1.5 bilion dalam syarikat berteraskan e-dagang Indonesia, Tokopedia.

 

Perancangan Google dan Temasek untuk menjalinkan kerjasama erat dengan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sudah pasti terkait dapatan data seperti unjuran firma McKinsey yang menjangkakan Indonesia akan mencatatkan jumlah pembeli e-dagang mencecah 44 juta menjelang 2022 dengan hasil jualan dijangka mencecah AS$65 bilion atau sekitar RM269 bilion! Cukup besar.

 

Bagaimana pula dengan Malaysia, adakah kita hanya berpeluk tubuh melihat tindakan agresif yang sedang dilaksanakan negara–negara jiran untuk melonjak sektor e-dagang masing-masing?

 

Malaysia menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-dompet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.
Kajian yang dijalan Mastercard menunjukkan Malaysia menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-dompet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara. 

 


Inisiatif kerajaan

Sudah tentu tidak kerana Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengembangkan sektor ini malah telah menunjukkan beberapa kejayaan awal dan berterusan merancang beberapa strategi terbaharu.

 

Sebelum ini Malaysia menduduki tangga teratas dalam penggunaan e-dompet berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara, menurut kajian yang dijalankan oleh MasterCard.

 

Syarikat teknologi dalam industri pembayaran global, Mastercard itu melaporkan Filipina berada di kedudukan kedua dengan 36%, sementara kedudukan ketiga dan keempat masing-masing adalah Thailand (27%) dan Singapura (26%).

 

Ini memberi gambaran bahawa rakyat negara ini sememangnya sudah mengamalkan transaksi tanpa tunai yang merupakan salah satu elemen e-dagang.

 

Usaha ini sentiasa berterusan malah kerajaan turut menunjukkan komitmen jelas bagi mengembangkan lagi sektor e-dagang tempatan menerusi peruntukkan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

 

Seperti diperincikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, sekitar RM300 juta akan diperuntukkan kerajaan untuk melonjakkan lagi sektor ini, dengan perinciannya ialah RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen e-dagang PKS dan usahawan mikro.

 

Sebanyak RM150 juta bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui kerjasama dengan paltform e-dagang utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan.

 

Sebenarnya, MDEC turut mempunyai pengalaman dalam mengembangkan e-dagang menerusi kerjasama dengan Kementerian Kewangan. Lebih menarik, jalinan ini dilaksanakan ketika negara masih diancam pandemik COVID-19.

 

Pencapaian e-dagang

Apa yang membanggakan, program dijalankan iaitu Kempen E-Dagang untuk Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Shop Malaysia Online yang digerakkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjaya meraih jualan dalam talian sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh singkat. 

 

Pada masa sama, inisiatif berkenaan menarik penyertaan sebanyak 115,000 usahawan mikro dan PKS baharu dan sedia ada menyertai sektor e-dagang dan memberi manfaat kepada lebih 7.8 juta pengguna di seluruh negara.

 

Dalam keadaan ketidaktentuan pasaran disebabkan pelbagai halangan yang wujud ketika ini, sudah pasti MDEC akan terus berusaha bersama agensi -agensi lain untuk mengembangkan lagi e-dagang.

 

Angka membuktikan kita di landasan tepat malahan tidak mustahil prestasi baik e-dagang akan berterusan sekali gus memanfaatkan rakyat pelbagai golongan serta memahirkan rakyat secara digital seperti teras MDEC.

 

Imbas kembali, pada 2018, sektor e-dagang di Malaysia merekodkan nilai jualan sehingga AS$2.4 bilion (RM10 bilion) dan dijangkakan akan membantu perkembangan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) domestik yang bernilai RM40 bilion seperti didedahkan dalam satu laporan oleh Kementerian Kewangan pada tahun lalu.

 

Akhir kata, MDEC akan sentiasa bersama-sama rakyat Malaysia menempuhi perjalanan digital yang telah kita mulakan untuk mencapai impian menjadi Nadi Digital ASEAN. 

 

Salah satu sektor yang harus kita pimpin ialah e-dagang yang mana ketika ini Malaysia sedang menunjukkan prestasi baik sekali gus memastikan rakyat Malaysia sentiasa peka dalam merebut peluang digital. - DagangNews.com