Malaysia-Mesir sepakat eratkan semula hubungan dua hala | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Mesir sepakat eratkan semula hubungan dua hala

 Persidangan video antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi semalam.

Persidangan video antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi semalam.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - Pandangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengeratkan semula hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir disambut baik Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi.

 

Sehubungan itu, Muhyiddin memberitahu, Mesir mengalu-alukan perbincangan melibatkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara dilakukan segera.

 

"Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama, khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

 

"Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan pihak Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia, malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan," jelas beliau di laman Facebooknya hari ini.

 

.

 

Perbincangan yang dijalankan secara persidangan video semalam itu memfokuskan kepada usaha untuk menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Mesir, terutama dalam konteks politik dan ekonomi.

 

Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada 2020 mencecah RM2.06 bilion. 

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau dan Presiden Mesir itu turut menyatakan kesediaan masing-masing untuk meningkatkan lagi kerjasama perdagangan Malaysia-Mesir pada masa hadapan.

 

Dalam hal itu, Muhyiddin mencadangkan agar kedua-dua negara menandatangani Comprehensive Economic Cooperation, cadangan berkenaan disambut baik oleh Presiden Mesir.

 

Perbincangan semalam turut membangkitkan isu-isu serantau dan antarabangsa khususnya berkaitan situasi terkini di Palestin.

 

Malaysia memuji peranan konstruktif Mesir yang bertindak sebagai broker dalam perjanjian gencatan senjata antara Palestin dan Israel yang berkuat kuasa pada 21 Mei lalu. 

 

"Dalam hal ini, saya telah membangkitkan mengenai prospek kerjasama Malaysia-Mesir berhubung penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan Malaysia ke Palestin melalui sempadan Rafah yang merupakan satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Mesir dan Gaza.

 

"Alhamdulillah, Presiden menyatakan kesediaan Kerajaan Mesir membantu Malaysia bagi penyaluran bantuan kepada Palestin," jelas beliau lagi. - DagangNews.com