Malaysia naik ke kedudukan ke-23 Indeks Kesediaan AI Kerajaan pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Malaysia naik ke kedudukan ke-23 Indeks Kesediaan AI Kerajaan pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - Malaysia melonjak ke kedudukan 23 dalam Indeks Kesediaan AI Kerajaan pada tahun ini dengan 68.71 mata berbanding kedudukan ke-29 dengan 67.37 mata pada tahun sebelumnya.

 

Ia menunjukkan usaha kolektif yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan disokong secara aktif oleh pemain daripada model quadruple helix iaitu pihak berkuasa awam, industri, ahli akademik dan rakyat.

 

Indeks Kesediaan Al Kerajaan terdiri daripada tiga tonggak iaitu Kerajaan; Data dan Infrastruktur; dan Sektor Teknologi. Setiap aspek mempunyai markah tersendiri dan menyumbang kepada kedudukan keseluruhan negara.

 

Menerusi Belanjawan 2024, fakulti Kepintaran Buatan pertama Malaysia akan ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Ia melibatkan peruntukan awal sebanyak RM20 juta, dan penubuhan fakulti ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mempercepatkan pertumbuhan Al di negara ini, dan sejajar dengan pergerakan digital global.

 

Ia akan menjadi pusat kepakaran dan perkongsian ilmu untuk semua universiti awam dan swasta di negara ini.

 

"Al merupakan peluang komersial terbesar pada masa akan datang seperti yang ditunjukkan oleh kajian PricewaterhouseCoopers (PwC) pada 2017 bahawa aplikasi Al boleh meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global sebanyak 14% atau bersamaan dengan AS$15.7 trilion pada 2030.

 

"Dalam konteks ini, visi dan sasaran Malaysia dalam ekonomi digital akan dicapai menjelang tahun 2025. Pada masa ini, Malaysia berada di kedudukan ke-33 dalam Indeks Daya Saing Digital Dunia IMD 2023," kata MOSTI dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Garis panduan untuk prinsip Responsible Al juga sedang dibangunkan dan akan diselaraskan dengan piawaian antarabangsa, seperti Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Panduan Tadbir Urus dan Etika ASEAN. 

 

Garis panduan ini dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2024.

 

"Usaha berterusan akan dipertingkatkan untuk meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 negara teratas dalam Al termasuk memperkemas inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Al Kebangsaan 2021 hingga 2025," katanya.

 

Malaysia menekankan kerjasama kolektif, di peringkat tempatan dan antarabangsa, untuk memacu inovasi, memajukan penggunaan Al yang bertanggungjawab, dan memupuk perkongsian global. Negara ini menjemput kerjasama antarabangsa, membayangkan perjalanan bersama dalam memanfaatkan potensi Al untuk masa depan global yang lebih cerah.- DagangNews.com