Malaysia naikkan pengeluaran minyak mentah kepada 595,000 tong mulai September - OPEC | DagangNews Skip to main content

Malaysia naikkan pengeluaran minyak mentah kepada 595,000 tong mulai September - OPEC

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Malaysia, yang bukan merupakan negara anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya kepada 595,000 tong pada September 2022 berbanding 521,000 tong pada Ogos 2021. 

 

Menurut OPEC, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha bagi meningkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas (O&G) dalam memenuhi peningkatan permintaan terhadap komoditi itu selepas 2023. 

 

Dalam mesyuarat Peringkat Menteri OPEC dan bukan OPEC ke-31 yang diadakan secara persidangan video semalam mendapati, kekurangan pelaburan yang kronik dalam sektor minyak telah mengurangkan kapasiti berlebihan di sepanjang rantaian nilai (huluan/tengah/hiliran).

 
"Mesyuarat itu menekankan kebimbangan khusus bahawa pelaburan yang tidak mencukupi dalam sektor huluan akan memberi kesan kepada ketersediaan bekalan yang mencukupi tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat selepas 2023 daripada negara pengeluar minyak bukan OPEC yang tidak mengambil bahagian, beberapa negara anggota OPEC dan yang bukan mengambil bahagian," jelasnya dalam kenyataan menerusi laman webnya.

 

 

OPEC
Sumber : Laman web OPEC

 

 

Pada mesyuarat itu, OPEC mendapati bahawa asas pasaran minyak yang dinamik dan berkembang pesat,  memerlukan penilaian secara berterusan terhadap keadaan pasaran.

 

Ketersediaan kapasiti berlebihan yang sangat terhad memerlukan penggunaan secara berhati-hati sebagai tindak balas kepada gangguan bekalan yang teruk.

 

Data awal bagi paras stok minyak komersial Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mencecah 2,712 juta tong pada Jun 2022, iaitu 163 juta tong lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala 236 juta tong berada di bawah purata 2015 hingga 2019.

 

Menurut OPEC, stok minyak kecemasan telah mencapai tahap terendahnya bagi tempoh lebih daripada 30 tahun.

 

Pada mesyuarat itu juga, OPEC menyatakan bahawa Pengisytiharan Pematuhan Kerjasama telah mencapai purata 130% sejak Mei 2020, disokong oleh sumbangan sukarela beberapa negara yang mengambil bahagian.

 

Berdasarkan laman web OPEC, 13 negara anggota terdiri daripada Algeria, Angola, Congo, Equatorial Guinea, Gabon, Iran, Iraq, Kuwait, Libya, Nigeria, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan  Venezuela.

 

Beserta 10 negara yang bukan anggota OPEC, ia dikenali sebagai OPEC+.

 

Malaysia mula menyertai negara anggota bukan OPEC pada 2016 bersama Azerbaijan, Bahrain, Brunei, Kazakhstan, Mexico, Oman, Rusia, Sudan Selatan dan Sudan. - DagangNews.com