Malaysia perlu ambil langkah berani jika tidak mahu ketinggalan | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu ambil langkah berani jika tidak mahu ketinggalan

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus ketika berucap pada Forum Khazanah Megatrends 2022, pagi tadi di Kuala Lumpur.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Okt - Gagenor Bank Negara Malaysia (BNM) optimis Malaysia mampu mengharungi persekitaran mencabar pada tahun hadapan berikutan kedudukan asas ekonomi dan kewangan negara yang kukuh.

 

Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus turut menegaskan ekonomi Malaysia tidak berada dalam krisis memandangkan langkah awal yang diambil membolehkan negara mengharungi 'taufan' tersebut. 

 

Beliau tidak menafikan, prospek pada 2023 akan menjadi lebih mencabar disebabkan faktor ketegangan dan konflik geopolitik yang semakin meningkat, tekanan inflasi global dan pasaran kewangan yang sangat tidak menentu.

 

Katanya, faktor tersebut akan membawa kepada pertumbuhan yang lebih perlahan pada tahun hadapan.

 

"Ini semua adalah fakta penting kepada ekonomi dan sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk kita bertindak dengan cara yang tidak menjejaskan pemulihan dan keyakinan pelabur," katanya ketika berucap pada Forum Khazanah Megatrends 2022, hari ini.

 

Mengulas lebih lanjut, menurutnya, ekonomi Malaysia ketika ini lebih pelbagai dari segi sumber pertumbuhan berbanding ketika krisis ekonomi Asia.

 

Menurutnya, ia menyaksikan permintaan domestik dan eksport adalah penting di samping negara juga telah mempelbagaikan pasaran eksport dan produk yang dikeluarkan.

 

"Ini sekali gus membantu menyerap sebarang impak daripada kejutan yang berlaku terhadap ekonomi.

 

"Sistem kewangan kita juga telah dipelbagaikan dengan pembangunan pasaran modal. Daripada pembiayaan yang kebanyakannya berasaskan bank pada 1990-an, kami melihat pembiayaan aktiviti ekonomi berasaskan pasaran yang lebih tinggi daripada pasaran modal hari ini," tambahnya.

 

Tegas beliau, masa depan akan datang adalah mencabar, sangat tidak menentu dan tidak dapat diramalkan.

 

Nor Shamsiah berkata, dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, adalah penting bagi Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih berani ke hadapan.

 

"Sebagai sebuah negara, kita kini mesti menumpukan pada pengukuhan asas ekonomi, daya tahan dan fleksibiliti. 

 

"Negara jiran di rantau ini sedang giat meneruskan langkah-langkah pembaharuan. Kita berisiko ketinggalan jika tidak bertindak sekarang," jelas beliau. - DagangNews.com