Malaysia setuju keputusan OPEC+ tingkatkan pengeluaran minyak 2 juta tong | DagangNews Skip to main content

Malaysia setuju keputusan OPEC+ tingkatkan pengeluaran minyak 2 juta tong

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Malaysia menyambut baik keputusan mesyuarat Menteri Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Bukan-OPEC (OPEC+) untuk menegaskan kembali komitmen bagi meningkatkan pengeluaran 2 juta tong minyak sehari (mb/d) secara beransur-ansur pada kadar yang sesuai mengikut keadaan pasaran. 

 

Komitmen itu pada awalnya telah dicapai pada April 2020, yang dipinda pada bulan Jun, September, dan Disember 2020, serta pada bulan Januari dan April 2021, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

 

Dalam pada itu, Malaysia juga sehaluan dengan keputusan mesyuarat berkenaan untuk memantau asas pasaran minyak bagi memastikan proses untuk mengimbangi dan menstabilkan pasaran minyak global dapat dicapai.

 

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed

 

“Terdapat tanda-tanda pemulihan pasaran minyak setelah penurunan permintaan yang mendadak akibat penularan pandemik COVID-19 bermula awal 2020. Pelaksanaan program vaksin secara agresif telah membantu proses pemulihan aktiviti ekonomi di beberapa negara. 

 

“Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pengguna dan sekali gus memacu semula permintaan minyak. Jumlah keseluruhan permintaan minyak mentah dunia pada suku kedua 2020 ialah 83 mb/d dan dijangka meningkat kepada 94 mb/d bagi tempoh yang sama tahun ini. 

 

“Secara purata, harga minyak mentah Brent bagi tempoh Januari sehingga Mei 2021 mencatat AS$63 setong berbanding AS$40 bagi tempoh yang sama tahun lepas,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mustapa mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri mesyuarat ke-17 peringkat Menteri OPEC dan OPEC+ yang diadakan secara maya pada 1 Jun 2021. 

 

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman Al Saud serta Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, Alexander Novak  dan disertai oleh 13 wakil negara anggota selain 10 wakil negara bukan anggota. 

 

Sebagai rekod, Malaysia yang bukan anggota OPEC mula menyertai Mesyuarat OPEC+ sejak Disember 2016 di mana merupakan sebuah platform untuk membincangkan kedudukan pasaran minyak mentah dunia. 

 

Kata Mustapa lagi, kejatuhan permintaan minyak mentah yang berpunca terutamanya oleh penularan pandemik COVID-19 dan lebihan bekalan yang tinggi telah menyebabkan harga minyak jatuh mendadak. 

 

Kesepakatan yang dicapai oleh OPEC+ khususnya semenjak April 2020 telah memberi impak positif kepada imbangan dan kestabilan pasaran minyak global, di samping membantu mengawal lebihan stok minyak dunia, ujar beliau lanjut.

 

“Selaras dengan usaha-usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia, permintaan ke atas produk minyak domestik juga telah mencatatkan peningkatan semula kecuali sektor penerbangan. 

 

“Jika dibandingkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dengan PKP 3.0, pembukaan beberapa subsektor ekonomi telah memainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan dalam permintaan minyak,” tambah Mustapa. - DagangNews.com