Malaysia sokong OPEC+ potong pengeluaran 2 juta tong minyak sehari | DagangNews Skip to main content

Malaysia sokong OPEC+ potong pengeluaran 2 juta tong minyak sehari

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 18 Okt - Malaysia, sebagai ahli OPEC+ mematuhi keputusan Mesyuarat Menteri OPEC dan Bukan OPEC untuk memotong pengeluaran sebanyak 2 juta tong sehari dengan berkuat kuasa dari November 2022.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato Sri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mengambil bahagian dalam mesyuarat Menteri OPEC dan Bukan OPEC ke-33 pada 5 Oktober 2022 lalu.

 

"Keputusan adalah sebulat suara.

 

"Negara OPEC+ secara kolektif mengambil kira faktor yang merangkumi pasaran asas, terutamanya untuk menangani ketidakpastian dalam situasi bekalan dan permintaan minyak global," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.


 

tokpa
             Dato Sri Mustapa Mohamed

 


Malaysia menurut Mustapa, menyokong inisiatif lama OPEC+ dan pendekatan proaktif, termasuk Dokumen Kerjasama (DoC) yang ditandatangani pada 10 Disember 2016 yang menyatukan negara pengeluar minyak untuk mematuhi yang teguh mekanisme dalam menangani cabaran pasaran.

 

"Memandangkan prospek ketidaktentuan yang berpanjangan, Malaysia akan meneruskan kerjasama rapat kami dengan OPEC+ untuk memastikan kestabilan pasaran minyak global," kata beliau. - DagangNews.com