ABU DHABI 28 Sept - Malaysia menawarkan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membuat pelaburan berbalik bagi menyokong Dasar Sekuriti Makanan kedua-dua negara dan membantu UAE menjadi hab makanan di Timur Tengah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia mempunyai tanah yang luas dan sesuai untuk membolehkan para pelabur luar membuat pelaburan dalam bidang pertanian.
"Saya telah mencadangkan kepada Presiden UAE untuk membuat pelaburan berbalik dalam bidang pertanian di Malaysia. Ini sesuai dengan perancangan UAE untuk menjadi hab eksport pertanian ke negara-negara Afrika dan sebagainya," kata beliau pada sidang media bersempena lawatan kerja ke UAE.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Kediaman Presiden di sini pada Isnin, Sheikh Mohamed menyambut baik cadangan itu dan kedua-dua pemimpin bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja bersama untuk melihat dengan cara lebih terperinci cadangan itu.
Menurutnya, sebelum ini Qatar dan Arab Saudi juga telah menyatakan minat menyertai pelaburan berbalik dalam bidang pertanian di Malaysia yang membantu negara meningkatkan pengeluaran produk-produk pertanian.
Syarikat Baladna, pengeluar tenusu Qatar telah membuat komitmen pelaburan sebanyak RM4.5 bilion dalam bidang penternakan tenusu terbesar di rantau Asia Tenggara dengan dua tapak telah dikenal pasti iaitu di Cuping, Perlis dan Muadzam, Pahang, kata beliau.
Sebelum ini, Malaysia dan Arab Saudi memeterai perjanjian untuk menerokai kerjasama baharu dalam bidang pertanian, kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri juga berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mengimport baja dari UAE.
Dalam lawatan ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) di sini pada Isnin, Perdana Menteri dimaklumkan syarikat itu bukan sahaja terlibat dalam bidang minyak dan gas, malah aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain seperti pengeluaran baja, Bernama melaporkan.
Menurut beliau, nilai dagangan antara kedua-dua negara telah meningkat 90.4% untuk lapan bulan pertama tahun ini iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion), dan jumlah ini melebihi nilai keseluruhan pada 2021, iaitu AS$5.38 bilion (RM22.29 bilion).
Ismail Sabri berkata, kedua-dua negara negara juga bersetuju memperluas pelaburan dan perdagangan di antara kedua-dua negara.
Pada pertemuan itu, Presiden UAE juga berterima kasih kepada lebih 6,000 rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu yang dianggap berdisiplin, rajin dan tidak menimbulkan masalah, kata Perdana Menteri. - DagangNews.com