KUALA LUMPUR 29 Sept - Kelengkapan aset perubatan Forward Anaesthesia and Surgical Trauma (FAST) bernilai RM6 juta disumbangkan Markas Pemerintahan Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Kelengkapan ini mempunyai 52 item peralatan perubatan yang digunakan untuk menjalankan pembedahan pesakit sekiranya memerlukan bius penuh dan bius separuh.
Penerimaan aset tersebut dapat menguatkan lagi kesiapsiagaan pasukan perubatan negara dalam menghadapi sebarang bencana atau situasi kecemasan.
Kelengkapan yang menjadi sebahagian daripada aset hospital medan ini pula mudah untuk diatur gerak termasuk digunakan di zon bencana.
Aset FAST ini telah pun digunakan dalam pengoperasian Hospital Medan Malaysia semasa misi bantuan kemanusiaan di Turkiye selepas dilanda gempa bumi April lalu.
Terdahulu, penyerahan aset FAST ini telah dilakukan oleh USINDOPACOM kepada Nadma dalam Majlis Penutup Eksesais Starlight 2023 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini.
Simbolik penyerahan ini dilakukan oleh Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Manu Bhalla kepada Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Turut diadakan ialah demonstrasi pemindahan dan pengendalian kasualti Forward Surgical Team (FST) oleh anggota pasukan 2 Batalion Ubat.
Mengenai Eksesais Starlight pula, ia bermatlamat untuk mengukur tahap kesiagaan, atur gerak dan pelaksanaan pengoperasian hospital medan tahap 3.
Fokus lain ialah dalam memberikan bantuan perkhidmatan kesihatan medan dan pengoperasian hospital medan dalam peperangan konvensional dan bantuan semasa bencana alam.
Juga sebagai persediaan menghadapi rawatan akibat serangan kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE).
Ini bagi membuktikan Malaysia kekal komited bersama dalam apa jua situasi bencana.
Melalui eksesais ini dapat meningkatkan hubungan erat serantau dan antarabangsa bagi memperkasakan komitmen Tentera Darat dalam meningkatkan kesiagaan dan melindungi kepentingan negara daripada ancaman luar. - DagangNews.com