Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech pada 21 Februari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini akan diikuti dengan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari 2021.
"Saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilancarkan hari ini, didapati sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada 5 pengeluar.
Ia membabitkan Pfizer-BioNTech yang telah memperolehi kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan NPRA pada 8 Januari 2021.
Bagi 4 lagi calon vaksin COVID-19 pula masih sedang diproses untuk kelulusan NPRA.
Bekalan vaksin daripada kelima-lima pembekal ini akan diterima oleh Malaysia secara berperingkat bermula
Februari 2021, tertakluk kepada kelulusan pendaftaran oleh PBKD.
Buku panduan itu boleh dimuat turun menerusi laman web yang baru dilancarkan iaitu www.VaksinCovid.gov.my.
Muhyiddin berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi 3 fasa dengan fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021.
"Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos 2021 dan melibatkan kumpulan berisiko tinggi, manakala fasa ketiga melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula Mei 2021 sehingga Febuari 2022," katanya.
Menurut beliau, program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik tersebut. - DagangNews.com