Malaysia terus 'intai' kerjasama pertanian, industri makanan dengan Uzbekistan | DagangNews Skip to main content

Malaysia terus 'intai' kerjasama pertanian, industri makanan dengan Uzbekistan

Ravshan Usmanov (kiri) bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Ravshan Usmanov (kiri) bersama Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 April - Malaysia akan terus meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor pertanian dan industri makanan dengan Uzbekistan.

 

Jaminan tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov di Wisma Tani, Putrajaya kelmarin. 

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Mohd. Nasir Wassir. 

 

Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan pelbagai aspek hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan dalam sektor pertanian dan industri makanan. 

 

.

 

Uzbekistan adalah negara rakan dagangan Malaysia di Asia Tengah yang mempunyai potensi pasaran yang tinggi. 

 

Hubungan baik terjalin antara Januari hingga November tahun 2020 yang menyaksikan hubungan  perdagangan pertanian antara dua negara memihak kepada Malaysia dengan jumlah RM115.03 juta.

 

Ia membabitkan nilai eksport perdagangan pertanian Malaysia ke Uzbekistan berjumlah RM145.97 juta dan nilai import berjumlah 30.94 juta.

 

Produk eksport kebanyakkanya adalah produk kopi, koko, teh, rempah dan buah-buahan, manakala produk import adalah sayur-sayuran dan buah-buahan. - DagangNews.com