KUALA LUMPUR 26 Dis - KKB Engineering Bhd telah memulakan prosiding adjudikasi di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan terhadap kontraktor berhubung tuntutan tertunggak berjumlah RM10.1 juta.
Syarikat fabrikasi keluli berpangkalan di Sarawak, di mana Cahya Mata Sarawak Bhd memegang 17.9% kepentingan, berkata tuntutan itu berkaitan dengan sub-kontrak RM17 juta yang diberikan oleh Fook Lai Construction & Development Sdn Bhd pada 2012.
Projek itu melibatkan kilang sarung tangan di Taman Perindustrian Petchem di Tanjung Kidurong, Bintulu.
KKB berkata tindakan undang-undang itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024), serta sebarang kesan operasi ke atas syarikat itu.
Keuntungan bersih KKB bagi suku ketiga FY2024 turun 13.29% kepada RM8.44 juta, daripada RM9.73 juta setahun sebelumnya, diheret oleh sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada bahagian pembinaan awam dan prestasi lemah sektor pembuatan disebabkan aktiviti yang lebih perlahan.
Hasil meningkat 2.2% kepada RM143.14 juta daripada RM140.05 juta.
Untuk sembilan bulan pertama FY2024, keuntungan bersih terkumpul KKB merosot 32.26% kepada RM15.59 juta berbanding RM23.02 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Hasil pula meningkat 32.06% kepada RM402.68 juta daripada RM304.91 juta, didorong sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian fabrikasi keluli yang mengimbangi hasil yang lebih rendah daripada sektor pembuatan.
Saham KKB Engineering kali terakhir didagangkan pada RM1.54, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM444.64 juta. - DagangNews.com