Malaysia tidak akan berdepan krisis imbangan pembayaran meski lebihan akaun mengecil – BNM | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak akan berdepan krisis imbangan pembayaran meski lebihan akaun mengecil – BNM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Malaysia tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran seperti Sri Lanka meskipun lebihan dagangan mengecil kerana negara sentiasa mencatatkan lebihan akaun semasa secara konsisten.

 

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, Malaysia telah merekodkan lebihan akaun semasa sejak 28 tahun lalu.

 

"Kita tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran. Kami menjangkakan Malaysia akan terus mempunyai lebihan akaun semasa tahun ini. Jika kita melihat isu ini, Malaysia telah merekodkan lebihan akaun semasa hampir 28 tahun sekarang. 

 

“Selain pemulihan eksport yang kita jangkakan, sektor pelancongan juga menyumbang dengan ketara kepada pertukaran asing negara. 

 

 

Datuk Marzunisham Omar
Datuk Marzunisham Omar

 

"Dengan liberalisasi visa untuk pelancong China dan paras ringgit semasa, Malaysia sangat menarik," katanya dalam sidang akhbar sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023, Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, dan Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 BNM hari ini.

 

Lebihan dagangan Malaysia turun 44% pada Februari 2024 kepada RM10.87 bilion, menandakan lebihan dagangan bulan ke-46 berturut-turut sejak Mei 2020.

 

Eksport merosot sedikit 0.8% kepada RM111.33 bilion, manakala import meningkat 8.4% kepada RM100.46 bilion.

 

Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata imbangan pembayaran akaun semasa dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi antara 1.8% hingga 2.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini. 

 

Beliau berkata, lebihan tersebut ini mewakili peningkatan berbanding 1.2% daripada KDNK pada 2023, yang merupakan baki akaun semasa terendah pernah direkodkan sejak 1997.

 

Imbangan pembayaran menyediakan maklumat terperinci tentang permintaan dan penawaran mata wang sesebuah negara.

 

Jika sesebuah negara bergelut dengan masalah imbangan pembayaran yang besar, ia mungkin tidak dapat mengembangkan import dari dunia luar manakala negara yang mengalami lebihan imbangan pembayaran yang ketara berkemungkinan besar dapat mengembangkan importnya. - DagangNews.com