Malaysian Genomics, Institut Kesihatan Negara bekerjasama dalam penyelidikan genomik dan biofarmaseutikal | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics, Institut Kesihatan Negara bekerjasama dalam penyelidikan genomik dan biofarmaseutikal

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad menerusi anak syarikatnya, MGRC Therapeutics Sdn. Bhd. (MGRC-T) menjalinkan kerjasama dengan Institut Kesihatan Negara (NIH) bagi menyediakan rangka kerja penyelidikan perubatan berkaitan genomik dan biofarmaseutikal.

 

Institut Kesihatan Negara terdiri daripada enam institut penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan bioperubatan, kesihatan awam dan epidemiologi, penyelidikan klinikal, penyelidikan kesihatan tingkah laku, pengurusan kesihatan dan dasar kesihatan.

 

MGRC-T, pakar dalam perkhidmatan genomik dan biofarmaseutikal dengan pengetahuan proprietari dan harta intelek yang berkaitan dengan penyelidikan, pembangunan dan pemprosesan ujian saringan genetik, serta pembuatan terapi sel, termasuk imunoterapi untuk pelbagai jenis kanser.

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Datuk Alvin Joseph Nesakumar berkata, perjanjian kerjasama itu membolehkan pihaknya meneroka bersama NIH untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan genomik dan biofarmaseutikal yang boleh menyumbang kepada peningkatan kesihatan rakyat.  

 

"Kami menganggap kerjasama ini sebagai langkah yang baik dalam menggalakkan dan mempromosikan penyelidikan dalam genomik dan biofarmaseutikal yang akan memberi manfaat bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus NIH, Dr. S. Asmaliza Ismail berkata,  pihaknya mengalu-alukan perjanjian itu kerana mereka berminat untuk bekerjasama dengan pakar seperti Malaysian Genomic untuk bertukar-tukar ilmu dalam pelbagai bidang penyelidikan perubatan. 

 

mgrc
Datuk Alvin Joseph Nesakumar

 

"Kami percaya bahawa dengan bekerja dan mengumpulkan sumber kami bersama-sama, kami boleh merapatkan jurang dalam kepakaran dan pengalaman," katanya.

 

Menerusi perjanjian itu, kedua pihak akan meneroka latihan bersama dalam bidang penyelidikan perubatan, bertukar-tukar bahan penyelidikan, dan mengambil bahagian dalam pembentangan dan penerbitan data saintifik. 

 

Selain itu, ia juga membolehkan pertukaran pakar dan kakitangan, termasuk penyelidikan pasca siswazah dan pelajar mengenai pelantikan tambahan, lampiran penyelidikan jangka pendek dan panjang, penyeliaan bersama pelajar yang menjalankan penyelidikan dan latihan, serta bidang kerjasama lain untuk diputuskan bersama. - DagangNews.com