Manfaat besar berpuasa dari sudut sains makanan | DagangNews Skip to main content

Manfaat besar berpuasa dari sudut sains makanan

Oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis

AGAMA Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh, termasuklah kesihatan tubuh badan. Kesejahteraan tubuh badan adalah aset penting bagi menjalankan rutin harian seperti bekerja, beribadah dan lain-lain.

 

Kehadiran bulan Ramadan sedikit sebanyak memberi kebaikan di dunia dan di akhirat terutamanya jika ia dilakukan dengan penuh keinsafan.

 

Berpuasa di bulan Ramadan merupakan suatu nikmat kepada kita kerana ia dapat meningkatkan taraf kesihatan diri dan masyarakat.

 

Amalan berpuasa merupakan suatu penawar, kerana ia dapat memberikan perubahan pada metabolisme badan yang menolong kepada pembaikan dan pembersihan di dalam badan kita.

 

 

Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis
Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis

 

 

Ketika berpuasa, tisu-tisu lemak dalam badan kita berperanan sebagai organ endokrin yang menghasilkan beberapa hormon. Antaranya hormon leptin, yang dapat memberi kesan terhadap tahap kekenyangan.

 

Apabila berpuasa, aras hormon leptin dalam badan menurun kepada paras awal, tetapi apabila berat turut menurun, kerintangan kepada leptin juga berkurangan.

 

Oleh itu badan menjadi lebih responsif dan dapat meningkatkan tahap kekenyangan.

 

Hasil penyelidikan pemenang anugerah Nobel sekitar tahun 2016, Profesor Yoshinori Ohsumi dari Jepun melaporkan bahawa amalan berpuasa meransang badan untuk menyingkirkan sel-sel yang telah rosak, dan memperbaharui sel tersebut, proses ini dikenali sebagai autophagy.

 

Berdasarkan kajian ini, Profesor Ohsumi dapat mengenal pasti gen yang mengawal selia proses ‘memakan diri sendiri’ ini yang terjadi ketika berpuasa.

 

Proses ini amat mustahak bagi menghindari penyakit yang bersangkut paut dengan penuaan dan memanjangkan umur.

 

Di samping menunaikan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan, ada dalam kalangan kita yang berpuasa disebabkan oleh minat terhadap kesannya terhadap tisu lemak dalam badan dan pengurangan berat secara menyeluruh.

 

Amalan berpuasa mendorong pembaikan komposisi badan kepada yang lebih baik melalui pelbagai cara, seperti tindakan hormon dan metabolisma lemak dan secara tidak secara langsung dapat mengurangkan berat badan.

 

Faedah ke atas kardiovaskular

Amalan berpuasa memberi banyak faedah terhadap kesihatan kardiovaskular, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menghidapi masalah kesihatan bersangkut paut dengan sindrom metabolik.

 

Berpuasa dapat menambah baik fungsi kardiovaskular, tekanan dan komposisi darah.

 

Berpuasa juga amat baik bagi mereka yang menghidap diabetes jenis kencing manis dan membantu dalam penurunan paras kolesterol darah.

 

 

parafrasa

 

 

Selain itu, semasa menjalani ibadah puasa, tekanan darah dalam badan kita akan menurun. Pengurangan tekanan darah kebiasaannya akan berlaku pada peringkat awal, iaitu ketika minggu pertama berpuasa.

 

Tekanan darah rendah terjadi oleh kerana kurangnya pengambilan garam secara mendadak dan peningkatan kehilangan garam melalui air kencing.

 

Berpuasa mengawal paras hormon insulin dalam darah dan menambahbaik tahap kecenderungan sel terhadap insulin yang sangat penting dalam penurunan paras gula darah.

 

Pengawalan ini adalah penting untuk menghindar dan mengawal selia penyakit kencing manis.

 

Berpuasa pada bulan Ramadan adalah salah satu dari lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap orang Muslim yang telah mencapai usia baligh, berakal, dan tidak dalam keadaan sakit atau musafir.

 

Dalam pada itu, umat Islam juga digalakkan berpuasa dua hari dalam seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis pada bulan-bulan yang lain.

 

 

parafrasa

 

 

Kesimpulannya, dengan menahan diri daripada makan, minum, dan aktiviti-aktiviti tertentu sepanjang berpuasa, umat Islam dapat melatih diri dalam ketaqwaan dan kesabaran.

 

Umat Islam dapat merasakan manfaat jangka panjang dalam meningkatkan kualiti hidup mereka, sama ada dari segi spiritual, fizikal, atau mental. - DagangNews.com

 

Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis adalah Ketua Makmal di Jabatan Sains Makanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM