Mara, CIDB wujudkan inisiatif tingkatkan daya saing kontraktor bumiputera dalam industri binaan | DagangNews Skip to main content

Mara, CIDB wujudkan inisiatif tingkatkan daya saing kontraktor bumiputera dalam industri binaan

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memetrai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi inisiatif meningkatkan keupayaan dan daya saing kontraktor bumiputera dalam industri pembinaan.

 

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kerjasama itu menyaksikan CIDB akan membantu Mara dalam menyediakan program pembangunan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang berstruktur dan komprehensif dalam membangunkan rantaian bekalan IBS.

 

“Mara sentiasa mencari ruang dan peluang bagi memastikan graduan lepasan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) serta pelatih Giat Mara dalam bidang seni bina dan teknologi bangunan menjadi modal insan yang kompeten di pasaran pekerjaan.

 

“Justeru, kerjasama bersama CIDB merupakan satu kolaboratif industri yang tepat dalam memacu pembangunan industri pembinaan dalam negara.” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis MoU tersebut bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini hari ini.

 

MoU tersebut ditandatangan oleh Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

 

Menurut Mahdzir, CIDB dan Mara akan bekerjasama membangun dan memudahcara usahawan IBS, melalui Program Pembangunan Vendor (VDP) IBS.

 

Mara menyasarkan sebanyak lapan vendor dapat dibangunkan yang terdiri daripada usahawan bumiputera Mara.

 

Mara juga jelas beliau, akan menyediakan latihan keusahawanan berkaitan pengurusan, kewangan dan pemasaran selain memberi khidmat nasihat, pembiayaan perniagaan serta menyediakan premis perniagaan yang bersesuaian dengan keperluan penggiat industri yang terlibat.

 

Tambahnya, bagi menyokong kelangsungan kontraktor bumiputera, Mara menyediakan skim kemudahan pembiayaan khas melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE).

 

SPiKE merupakan kemudahan pembiayaan kewangan jangka pendek yang disediakan kepada kontraktor bumiputera melibatkan aktiviti pembinaan, pembekalan, perkhidmatan dan elektrik.

 

"Sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), seramai 2,860 usahawan dan kontraktor telah menerima latihan peningkatan.

 

Bagi tempoh 2016 sehingga 2020, seramai 11,000 usahawan atau kontraktor telah menerima manfaat dengan nilai sebanyak RM1.42 bilion," katanya.-DagangNews.com