MaraCorp sasar 2,000 peluang pekerjaan kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan Mara | DagangNews Skip to main content

MaraCorp sasar 2,000 peluang pekerjaan kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan Mara

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - MARA Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp.) menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan yang terdiri daripada pelajar institusi pendidikan Mara (Ipma) serta di bawah tajaan pelajaran Mara. 

 

Ia menerusi kerjasama strategik memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani MaraCorp. bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp.) bagi memperkukuh usaha membangunkan modal insan kompetitif. 

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama tersebut bakal memacu pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara khususnya graduan di bawah ekosistem pendidikan Mara. 

 

Beliau berkata, TalentCorp. yang bertindak sebagai penghubung antara Mara dan pihak berkepentingan dalam jaringan mereka akan menawarkan inisiatif program sedia ada. 

 

Menurut beliau, program seperti Nurturing Expert Talent (NEXT); Structured Internship Programme (SIP), Talent Mobility; Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa akan ditawarkan kepada graduan di bawah Mara. 

 

"Kedua-dua pihak juga akan merangka program-program khas yang bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan Mara. 

 

"Ia bagi memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran tinggi di alam pekerjaan," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU berkenaan yang dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, di sini hari ini.

 

mara

 

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kerjasama antara kementerian dalam agenda pembangunan bakat merupakan satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada graduan untuk mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan. 

 

"Saya percaya kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan Mara dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan satu ruang kerjaya yang lebih signifikan dengan peluang lebih baik ditawarkan kepada pelajar Mara," katanya.

 

TalentCorp. juga menurut Mahdzir, bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju. 

 

"Usaha TalentCorp. dipacu kerjasama erat pelbagai kementerian, pihak berkepentingan dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada tiga penawaran khidmat utama iaitu penyaluran, kepelbagaian dan mobiliti modal insan di Malaysia. 

 

"MaraCorp yang merupakan syarikat induk milik Mara yang bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan peluang pemilikan ekuiti serta memastikan peningkatan penjanaan pendapatan syarikat subsidiari di bawahnya dalam memberikan pulangan pelaburan baik dan konsisten kepada Mara," jelasnya.-DagangNews.com