KUALA LUMPUR 12 Sept - MARC Ratings menyemak naik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2022 kepada 6.5% berbanding 5.5% sebelum ini berikutan permintaan domestik dijangka kukuh disokong antara lain, pemulihan pasaran buruh.
Bagaimanapun, agensi penarafan itu menyifatkan unjurannya adalah sejajar dengan julat anggaran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 5.3% hingga 6.3%.
Ia menjangkakan keseimbangan inflasi yang didorong permintaan, dengan mengambil kira prospek pertumbuhan domestik akan bertambah baik dan semakin kukuh pada masa akan datang.
Dari segi faktor luaran, katanya, konflik Rusia-Ukraine yang telah mencetuskan gangguan buruk kepada pasaran global bagi bahan mentah yang kritikal dan keadaan kemarau yang semakin teruk terus menyumbang kepada tekanan inflasi global.
"Berdasarkan kepada faktor ini, kami menyemak semula unjuran inflasi tahun ini kepada 3.3% daripada 2.7% sebelum ini, lebih tinggi berbanding unjuran BNM antara 2.2% hingga 3.2%," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Minggu lalu, BNM dalam kenyataan berkata, inflasi keseluruhan diunjurkan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga ini sebelum menurun selepas itu disebabkan kesan asas yang semakin luput dan juga sejajar dengan harga komoditi global yang dijangka semakin menurun.
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata lebih hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0% hingga 3.0% pada 2022, dengan beberapa tanda wujudnya tekanan yang didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.
Susulan itu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam mesyuaratnya Khamis lalu memutuskan untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) buat kali ketiga tahun ini menjadikannya kepada 2.5%.
Pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi dengan MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal serta akan terus menilai keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Bagaimanapun, BNM masih berhati-hati terhadap prospek inflasi yang terus dipengaruhi oleh langkah-langkah dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global yang disebabkan terutamanya oleh konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan.
MARC menyifatkan kenaikan 75 mata asas (bps) OPR setakat tahun ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada suku kedua berkembang pada 8.9%.
Katanya, ia menjadikan pertumbuhan separuh pertama pada 6.9%, rendah sedikit berbanding 7% bagi tempoh sama tahun lalu.
"Kenaikan itu, yang ketiga dalam mesyuarat MPC, mengembalikan sebahagian daripada sokongan monetari yang dilaksanakan semasa krisis COVID-19.
"Selepas wabak itu muncul pada awal 2020, MPC telah mengurangkan OPR dengan jumlah kumulatif 125 mata asas daripada paras sebelum pandemik, 3% (kepada 1.75%)," jelasnya.
Namun, menurutnya, ringgit akan terus berada dalam tekanan dalam tempoh beberapa bulan akan datang disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).
"Pada masa sama, ia turut dipengaruhi data ekonomi China yang mengecewakan berikutan penguatkuasaan sifar COVID-19 telah menjejaskan harga minyak mentah dan retorik politik di Malaysia," katanya.
Mengambil kira faktor-faktor berkenaan, MARC menjangkakan BNM akan kekal dalam laluannya untuk terus mengetatkan kadar.
"Memandangkan keutamaan MPC terhadap pelarasan dasar monetari yang terkawal dan beransur-ansur untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di tengah-tengah kestabilan harga, kami menjangkakan OPR akan dinaikkan sebanyak 25 bps lagi dalam mesyuaratnya November ini menjadikan kadar itu meningkat kepada 2.75%," katanya. - DagangNews.com