MARC sahkan penarafan dengan prospek stabil terhadap sukuk murabahah TTM | DagangNews Skip to main content

MARC sahkan penarafan dengan prospek stabil terhadap sukuk murabahah TTM

TTM SPV merupakan syarikat pendanaan bagi Trans Thai-Malaysia (Thailand) Ltd (TTMT) bagi pembinaan 2 saluran paip tambahan. 

 

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Malaysian Rating Corp. Bhd. (MARC) mengesahkan penarafan AAAIS dengan prospek stabil terhadap Trans Thailand-Malaysia (TTM) Sukuk Bhd. (TTM SPV) bagi sukuk murabahah bernilai RM600 juta. 

 

TTM SPV merupakan syarikat pendanaan bagi Trans Thai-Malaysia (Thailand) Ltd (TTMT) bagi pembinaan 2 saluran paip tambahan untuk mengangkut gas asli dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand, Teluk Thailand ke bandar perindustrian Rayong, Thailand (Fasa 2 TTM). 

 

Secara dasarnya, TTMT adalah usaha sama 50:50 antara penaja projek, syarikat minyak Malaysia dan Thailand iaitu Petroliam Nasional Bhd. dan PTT Public Company Ltd (PTT).

 

Menurut MARC, penarafan itu mencerminkan sokongan yang tinggi terhadap penaja projek memandangkan kepentingan strategik bagi projek kerajaan kepada kerajaan. 

 

Katanya, sokongan penilaian itu juga mengambil kira faktor hubungan kredit dalam bentuk peruntukan silang dan dipercepatkan antara sukuk dinilai dan pinjaman berjangka yang diambil untuk membiayai fasa pertama projek TTM.

 

"Penarafan tersebut tidak dihalang oleh penarafan mata wang asing Thailand, walaupun hakikatnya syarikat utama TTM Fasa II, PTT dan syarikat projek TTMT, berada di Thailand.

 

"Kami melihat Petronas mempunyai insentif strategik dan reputasi yang kukuh untuk menyediakan kecairan ringgit sekiranya berlaku masalah pemindahan dan tukaran yang timbul daripada sekatan pertukaran wang asing yang dikenakan oleh kerajaan Thailand," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Petronas mempunyai penarafan AAA/Stabil senior tanpa jaminan dari MARC berdasarkan maklumat yang tersedia untuk tatapan umum.

 

Agensi penarafan itu berkata, profil kredit TTMT disokong oleh aliran tunai yang stabil dan menyakinkan disokong oleh struktur tarif kos tambahan di bawah perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan PTT dan Petronas. 

 

Pada separuh pertama tahun ini, pendapatan Fasa 2 TTM adalah kukuh dengan merekodkan AS$8.2 juta berikutan jualan gas yang lebih tinggi sebanyak 106,555 mmscf berbanding 2020, 88,178 mmscf.

 

Di peringkat TTMT, pendapatan meningkat 1% tahun ke tahun kepada AS$49.5 juta pada separuh pertama 2021 manakala aliran tunai operasi berjumlah AS$48.5 juta (berbanding AS$52.2 juta pada separuh pertama 2020), menyediakan liputan 11.1x ke atas faedah. 

 

Nisbah hutang kepada ekuiti TTMT juga meningkat kepada 0.79x setakat akhir Jun 2021 (berbanding 0.92x pada akhir Jun 2020), mendapat kelebihan daripada pinjaman lebih rendah dan dana pemegang saham yang kukuh. - DagangNews.com