MARDI giat edar benih laksana pengkomersialan tanaman bawang | DagangNews Skip to main content

MARDI giat edar benih laksana pengkomersialan tanaman bawang

Wan Rozita Wan Engah menunjukkan bawang merah jenis BAW-1 hasil penyelidikan MARDI.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang giat mengedarkan benih asas bawang merah secara skala besar kepada petani yang dilantik untuk keperluan penanaman bawang segar tempatan.

 

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI, Wan Rozita Wan Engah berkata, usahawan yang dipilih akan diberi bimbingan teknikal melalui kursus dan latihan serta dibekalkan dengan benih bawang secara percuma untuk musim pertama pengeluaran.

 

"Petani yang diberikan benih ini akan terus dibantu melalui pemantauan secara berkala yang kita lakukan untuk melihat progres penanaman bawang yang memerlukan 65 sehingga 75 hari semusim.

 

"Pada lawatan pertama, kita akan memantau tentang kaedah penanaman dan siraman yang betul sebelum kita datang kali kedua dalam beberapa minggu lagi untuk melihat prestasi pokok serta bagaimana ia dapat mengatasi serangan serangga dan penyakit.

 

"Selepas itu, kita akan membuat pemantauan akhir penanaman dan melihat proses penuaian untuk memastikan bawang yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi dan setara dengan bawang yang berada di pasaran," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika membuat pemantauan terhadap penanam bawang di Kuala Bikam, di Serdang, Selangor baru-baru ini.

 

Sebanyak 1.5 metrik tan bawang merah jenis BAW-1 berjaya diserahkan kepada petani, iaitu Tan Cheng Choy bagi mengusahakannya di sebidang tanah lombong berkeluasan 1 hektar.

 

 

mardi
Wan Rozita Wan Engah

 

 

Menurut Wan Rozita, sebagai fasa permulaan pelaksanaan pengkomersialan pengeluaran bawang merah, pada tahun ini MARDI menyasarkan pengagihan benih bawang kepada lima petani di seluruh negara bagi menghasilkan pengeluaran bawang sebanyak 30 metrik tan semusim bagi keluasan kawasan penanaman seluas 5 hektar.

 

"Aktiviti pengkomersialan akan ditingkatkan sebanyak 10 hektar setiap tahun berikutnya dengan pemantauan dan khidmat nasihat oleh pakar MARDI secara berterusan sehingga usahawan/petani berjaya melaksanakan sepenuhnya," katanya.

 

 

mardi

 

 

Sementara itu, Tan yang ditemui di ladangnya menyifatkan bantuan benih bawang itu banyak memberi faedah kepada petani kecil sepertinya dan turut meningkatkan pendapatan bulanan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

 

"Saya amat gembira diberi peluang oleh pihak MARDI dan Jabatan Pertanian untuk menjadi perintis kepada penanaman bawang secara besar-besaran dan saya percaya dengan tunjuk ajar dan bimbingan mereka usaha saya akan berjaya.

 

 

mardi

 

 

"Saya harap tanaman bawang ini dapat membuahkan hasil yang lumayan kerana bawang mempunyai permintaan tinggi di pasaran berbanding tanaman-tanaman lain yang saya usahakan," jelasnya. - DagangNews.com