Jumlah pinjaman pada Mac 2024 catat peningkatan sebanyak 6% - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Jumlah pinjaman pada Mac 2024 catat peningkatan sebanyak 6% - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Jumlah pinjaman terus mencatatkan perkembangan positif pada Mac 2024 dengan peningkatan sebanyak 6% dari tahun ke tahun.

 

RHB Investment berkata, perkembangan itu didorong peningkatan pinjaman isi rumah sebanyak 6%, kewangan (15%) dan segmen perdagangan borong serta runcit pada kadar 9%.

 

"Kami juga melihat pinjaman pengguna seperti gadai janji kediaman meningkat 7%, kad kredit (10%) dan pinjaman sewa beli (10%) mengekalkan kadar pertumbuhan industri, manakala pinjaman untuk tujuan modal kerja meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 5%.

 

"Dari suku tahun ke suku tahun, kami turut menyaksikan peningkatan pinjaman untuk pembelian hartanah bukan kediaman sebanyak 6%.

 

"Sektor perbankan kini mencatatkan perkembangan lebih pantas berbanding sasaran 4.5% hingga 5% yang diunjurkan pada tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini

 

Firma penyelidikan itu berkata, Mac 2024menyaksikan permohonan pinjaman yang baik pada kadar RM117 bilion dan secara kumulatif,  permohonan pinjaman bagi tiga bulan tahun ini meningkat 1% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, pengagihan pinjaman bagaimanapun mendatar dari tahun ke tahun dengan agihan yang lebih perlahan kepada perniagaan.

 

"Kami berpendapat pengeluaran pinjaman perniagaan akan meningkat pada akhir tahun dengan pelancaran projek infrastruktur besar secara berperingkat sekiranya terdapat kejelasan makroekonomi yang lebih baik," katanya.

 

RHB Investment berkata,  akaun semasa akaun simpanan (CASA) berkembang dengan lebih pantas 7%, dipercayai sebahagiannya mungkin disebabkan pelancaran beberapa penawaran baharu alam bank digital.

 

Katanya, maklum balas daripada bank menunjukkan bahawa persaingan untuk deposit telah berkurangan dari tempoh Disember 2023 hingga Februari 2024 tetapi dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini terutamanya jika momentum pertumbuhan pinjaman kekal kukuh.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor itu dengan CIMB Group Holdings Bhd,  AMMB Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd dan Public Bank Bhd sebagai pilihan utama. - DagangNews.com