TopVision sasar kumpul RM17.89 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

TopVision sasar kumpul RM17.89 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - TopVision Eye Specialist Berhad menyasarkan untuk mengumpuk RM17.89 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, pelaksanaan pemindahan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 54.22 juta saham biasa baharu dengan harga runcit 33 sen sesaham.

 

Katanya, daripada dana yang diperoleh itu, sejumlah RM7.9 juta akan digunakan untuk penubuhan TopVision International Eye Specialist Centre di Lembah Klang, pusat penjagaan ambulatori mata tertiari dengan perkhidmatan subkepakaran seperti pembedahan retina, pemindahan kornea, dan oftalmologi pediatrik untuk memenuhi keperluan pesakit.

 

"Sejumlah RM5 juta akan digunakan bagi mengembangkan rangkaian ACC dengan pusat baharu di Kuala Terengganu dan Tawau, Sabah, memperluaskan kehadiran kumpulan di Malaysia Timur dan meningkatkan akses kepada penjagaan mata yang berkualiti.

 

"RM500,000 akan diperuntukan untuk pembelian mesin, termasuk mesin fakoemulsifikasi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di seluruh rangkaian kumpulan manakala RM4.5 juta adalah bagi perbelanjaan pemindahan penyenaraian daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif TopVision, Dr. Peter Chong Kuok Siong berkata, langkah ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan kumpulan tetapi menggariskan komitmen mereka dalam memajukan penjagaan kesihatan mata di seluruh Malaysia. 

 

"Dengan dana yang dikumpul, kami akan mengembangkan rangkaian ACC kami, menubuhkan TopVision International, dan melabur dalam mesin baharu, semuanya bertujuan untuk meningkatkan penjagaan pesakit. 

 

"Penyenaraian ini mencerminkan dedikasi kami terhadap pertumbuhan yang mampan, kecemerlangan klinikal dan misi kami untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit kami," katanya.

 

Industri penjagaan mata perubatan di Malaysia diunjurkan berkembang dengan ketara, dengan hasil dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10% daripada RM849.5 juta pada 2024 kepada RM1.25 bilion menjelang 2028. 

 

Pertumbuhan ini adalah didorong oleh beberapa faktor permintaan dan penawaran utama.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan pemilik buku tunggal.- DagangNews.com